August 18, 2014

Lelaki terjatuh dari tingkat 10

Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian. 

GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki ditemui berlumuran darah dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Jalan Lengkuk Mahsuri di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mayat Cheah Tor Pin, 46, ditemui berhampiran lif tingkat bawah pangsapuri berkenaan oleh beberapa penghuni selepas terdengar dentuman kuat.

Difahamkan, lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di perumahan berkenaan dan memulakan tugas sejak seminggu lalu.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 39,  terdengar bunyi kuat ketika berada di rumahnya di tingkat satu.

“Selepas mendengar dentuman kuat itu saya bergegas turun dan terkejut melihat mayat seorang lelaki yang lengkap beruniform dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

“Beberapa penghuni pangsapuri kemudian mula memenuhi kawasan itu dan mereka turut menghubungi polis serta ambulans,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa dikatakan mempunyai masalah mental dan ketika polis menjalankan siasatan turut menemui ubat yang dipercayai pil penenang jiwa dalam poket seluarnya.

Kasut yang dipercayai milik mangsa turut ditemui di kaki lima tingkat 10 bangunan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa kejadian jenayah.

Sinar Harian 18 Ogos 2014


Pengawal terjun tingkat 10

Bayan Baru: Baru seminggu memulakan tugas sebagai pengawal keselamatan, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental nekad terjun dari tingkat 10 pangsapuri tempat dia bekerja di Jalan Lengkuk Mahsuri, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mayat Cheah Tor Pin, 46, ditemui berhampiran lif di tingkat bawah pangsapuri berkenaan oleh beberapa penghuni yang terdengar bunyi kuat ketika mangsa jatuh.

Difahamkan, mangsa baru seminggu bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri terbabit dan dikatakan mempunyai masalah mental.

Polis turut menemui ubat dipercayai pil penenang jiwa dalam kocek seluarnya.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 39, dia terdengar bunyi kuat ketika berada di rumahnya di tingkat satu.

myMetro 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment