August 18, 2014

Remaja OKU korban banjir kilat

Muhammad Fakrul (kanan) menutup mayat adiknya dengan kain batik sebaik ditemui pasukan bomba dan penyelamat.

TELOK EMAS - Seorang remaja kurang upaya (OKU) menjadi mangsa pertama yang terkorban dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat di negeri ini sejak awal pagi kelmarin.

Muhammad Syakir Mamat, 16, pelajar pendidikan khas dari Sekolah Menengah (SM) Seri Mahkota Umbai dijumpai lemas dalam sebuah parit besar berhampiran Taman Seri Telok Emas, kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Sebelum detik malang itu berlaku, mangsa dikatakan bermain bersama tiga lagi rakan di kawasan sekitar berhampiran parit berkenaan.

Salah seorang rakannya, Fazuan Khairulmubin, 13, berkata, mangsa ada menyatakan hasrat untuk berenang ketika dia sedang berbasikal di kawasan berkenaan.

Namun, katanya, sebaik tiba di tebing parit, mangsa yang berseluar jeans dan memakai baju -T terus terjun tanpa menghiraukan keadaan parit dipenuhi air.

“Kami yang lain tidak berenang sebab tahu air parit memang dalam disebabkan baru lepas hujan. Kami beberapa kali melarangnya untuk berenang tetapi tidak dihiraukan.

“Pada mulanya, dia bergurau menyatakan hasrat hendak mati lalu terus terjun ke parit. Tidak sampai dua tiga minit dia naik ke tebing kembali.

“Tapi, selepas itu dia terus terjun dan kami hanya memerhatikan sahaja. Tidak sampai 10 minit dia kelihatan terkapai-kapai menjerit meminta tolong," katanya di sini, semalam.

Seorang lagi rakan mangsa, Muhammad Amin Suhaimi, 13, berkata, dia besama dua lagi rakan lain cuba menyelamatkan mangsa.

“Kami cuba mengambil dahan kayu berhampiran dengan harapan dia dapat mencapai untuk selamatkan diri,  malangnya dia semakin ke tengah dan gagal mendapatkan kayu.

“Sebaik mendapati dia tenggelam, kami segera ke rumahnya yang terletak hanya 100 meter untuk memberitahu keluarga supaya menghubungi pihak berkuasa bagi menyelamatkannya,” katanya.

Sementara, abang mangsa, Muhammad Fakrul Izzat Mamat, 18, berkata, dia terkejut apabila diberitahu seorang bapa saudara mengenai kejadian menimpa adik bongsunya itu.

“Ketika itu, saya sedang bekerja di sebuah syarikat swasta di Telok Emas sebelum datang bapa saudara memberitahu kejadian pada jam 11 pagi.

“Saya terus ke lokasi dan mendapati jasad adik terbujur kaku selepas ditemui pihak bomba,” katanya.

Menurut Muhammad Fakrul, adiknya adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan mengalami masalah lembam sejak dilahirkan.

“Kami tiga beradik tinggal bersama nenek selepas ibu meninggal dunia dalam tempoh tidak sampai setahun lalu. Ayah pula tidak tinggal bersama kami.

“Saya sempat bersarapan pagi bersamanya pagi tadi (semalam). Tak sangka itulah detik terakhir saya bersamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat II, Abdul Rahman Jaafar berkata, lima anggota bomba ditugaskan untuk mencari dan menyelamat mangsa.

"Mayat mangsa ditemui di dasar parit pada jam 11.36 pagi berkedudukan hanya kira-kira tiga meter dari tebing tempat mangsa terjun,” katanya.

Sinar Harian 17 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment