August 18, 2014

Pesara polis disangka tertidur rupanya meninggal dunia

MENINGGAL DUNIA: Mangsa ditemui meninggal dunia dalam kereta di Bekenu petang Sabtu lalu.
MIRI: Seorang pesara polis yang disangka tertidur nyenyak di dalam kereta rupa-rupanya meninggal dunia dalam kejadian di Bekenu Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia 61 tahun itu ditemui orang awam di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di tepi jalan menuju pekan Bekenu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Dagang Bekenu dipercayai sekitar jam 1 petang.

Berdasarkan siasatan polis, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan.

Kemudian kereta terbabit terbabas ke sebelah kiri jalan lalu bergesel dengan simen bahu jalan.

“Mangsa yang disangka tidur di dalam kereta disedari oleh orang awam telah meninggal dunia,” katanya di sini semalam.

Gan berkata maklumat daripada keluarga memberitahu bahawa mangsa menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan enam anak.

Utusan Borneo 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment