August 18, 2014

Pesakit diabetes di Malaysia meningkat


KUCHING: Kajian pada 2011 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus pesakit kencing manis (diabetes) adalah dari kalangan rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Menurut Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah peningkatan tersebut, 4.3 hingga lima peratus daripada kes itu boleh menyebabkan luka pesakit diabetes terpaksa dipotong sekiranya tidak dijaga rapi.

Malahan, jelasnya, luka akibat diabetes merupakan masalah yang paling kerap dilaporkan di Malaysia.

“Kita mahu mencegah perkara ini dari terus menjadi kebiasaan dan berleluasa, justeru luka yang terhasil hendaklah dirawat dari peringkat awal lagi sebelum ia terus membesar sehingga dijangkiti kuman dan sebagainya.

“Pada masa sama, sekiranya ia dicegah dari awal lagi, ia sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan rawatan termasuk kos alatan balutan luka yang sememangnya menelan belanja tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Penjagaan Luka TransBorneo Ke-2, di Hotel Pullman di sini, semalam.

Mengulas mengenai persidangan penjagaan luka itu, Dr Noor Hisham memberitahu, ia merupakan penganjuran yang amat disokong oleh pihak kementeriannya yang bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi mencegah luka dari terus memudaratkan pesakit.

Katanya, persidangan yang bertaraf dunia selama tiga hari bermula semalam sehingga 17 Ogos itu disertai 500 delegasi dari 20 negara yang terlibat yang terdiri daripada pakar perubatan, doktor serta jururawat.

“Persidangan selama tiga hari ini diharap dapat menjadi wadah perkongsian di antara peserta dalam membincangkan teknik serta langkah pencegahan dan rawatan luka akibat kencing manis.

“Pada masa sama, golongan profesional perubatan yang terdiri daripada pakar, doktor dan jururawat juga harus berganding bahu untuk mengenal pasti kemudahan serta produk yang dapat digunakan untuk mengubat luka itu tanpa membelanjakan kos yang besar,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak KKM juga mahu mengetengahkan konsep rawatan dari rumah bagi mengelakkan kebanjiran pesakit di hospital dan juga klinik berhampiran.

“Rawatan penjagaan luka boleh dibuat dari rumah sekiranya pesakit itu sendiri mahupun ahli keluarga diberikan pengetahuan mengenai kaedah yang sebetulnya untuk menukar balutan luka,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Pengasas Malaysian Society of Wound Care Professionals (MSWCP) Dr Harikrishna berkata, persatuannya kini giat menganjurkan pelbagai aktiviti terutama untuk berkongsi pengetahuan mengenai pelbagai kategori penjagaan luka di seluruh Asia dan Malaysia khususnya.

Selain itu, jelas beliau, MSWCP juga akan terus berusaha mencapai kemajuan dan pembangunan dalam bidang penjagaan luka akibat penyakit tersebut mahupun penyakit lain.

Persidangan itu juga menyaksikan perasmian majalah penjagaan luka ‘Heal Digest’ dan buku ‘Maggot Debridement Therapy-A Malaysian Experience’ yang ditulis oleh Institut Penyelidikan Perubatan selain turut digunakan oleh Unit Penjagaan Luka, Hospital Kuala Lumpur.

Hadir sama ialah Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Datu Dr Zulkifli Jantan serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hin.

Utusan Borneo 16 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment