August 1, 2014

Jeritan selamatkan 2 pendaki gua

Khairul Anwar diberi rawatan awal di dalam gua sebelum dibawa keluar. 

Khairul Anwar dibawa keluar oleh anggota bomba dengan menggunakan tali.

GUA MUSANG - Misteri suara seorang wanita menjerit di puncak gua di Rancangan Tanah Felda Chiku 6, dekat sini, terjawab apabila menemui rakan lelakinya iaitu seorang warga Indonesia yang cedera apabila terjatuh dalam gua itu, petang kelmarin.

Wanita terbabit, Haslinda Isa, 44, menjerit meminta pertolongan kepada seorang peneroka yang memasuki kawasan ladang sawit dan menghampiri gua itu kira-kira jam 11 pagi untuk membantu rakannya, Khairul Anwar Rudin, 31, yang patah tangan kiri.

Mangsa yang tinggal di Hulu Langat Selangor itu berjaya diselamatkan pasukan anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat Gua Musang kira-kira jam 2.15 petang dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan.

Haslinda ketika ditemui di Pusat Kesihatan Chiku 3 berkata, dia baru pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Rancangan Tanah Felda Chiku 5 sebelum merancang untuk mendaki gua itu bersama Khairul Anwar.

Menurutnya, dia mendaki gua itu sejak pagi Selasa lalu semata-mata mahu menuntut ilmu dan bertapa di gua terbabit bersama Khairul Anwar.

“Kami tidak berniat untuk bermalam, disebabkan kami menemui pelbagai kejadian aneh hingga memaksa kami berada di dalam gua semalaman.

“Ketika dalam perjalanan untuk turun semula petang Selasa lalu kaki Khairul Anwar tergelincir apabila cuba melompat selepas ternampak ular besar berwarna putih menyebabkan dia terjatuh dalam gua berkenaan,” katanya.

Haslinda berkata, berikutan kejadian itu, dia terpaksa menemani Khairul Anwar dan kira-kira jam 11 pagi kelmarin dia sempat memanggil seorang lelaki yang dipercayai peneroka yang menghampiri gua itu serta menceritakan mengenai kejadian terbabit.

“Mujur saya ternampak peneroka itu memasuki kawasan ladang dan menghampiri gua sebelum saya meminta tolong memanggil pasukan penyelamat bagi membantu Khairul Anwar yang cedera, jika tidak mungkin kami berdua akan berada dalam gua itu beberapa malam lagi," katanya.

Ketika kerja penyelamat dijalankan, Khairul Anwar yang separuh sedar berjaya dibawa turun anggota bomba dengan bantuan polis dan penduduk kampung. Haslinda tidak mengalami sebarang kecederaan, namun turut menerima rawatan di klinik sama sebagai pesakit luar.

Ketua Operasi Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Razani Mamat ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.48 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera bersama enam anggota.

Beliau mengakui gua itu jarang didaki orang ramai dan pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk membawa turun dua mangsa yang berada di dalam gua terbabit.

“Kita menggunakan pelbagai kepakaran yang ada bagi melakukan kerja menyelamat yang dianggap paling sukar dan bersyukur semua tugas itu berjalan lancar tanpa ada sebarang kejadian tidak dingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sinar Harian 1 Ogos 2014


Derita ‘penunggu’ gua

Gua Musang: Keghairahan seorang bomoh warga Indonesia yang bertapa untuk menambah ilmu berakhir dengan tragedi apabila dia terpaksa menahan kesakitan hampir 24 jam akibat patah tangan kiri selepas terjatuh dalam sebuah gua di Rancangan Tanah FELDA Chiku, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Khairul Anwar Rudin, 31, yang dalam perjalanan keluar dari gua dan berada pada ketinggian 10 meter bersama rakannya dipercayai terjatuh selepas terkejut melihat seekor ular putih.

Mangsa berjaya diselamatkan Bomba dan Penyelamat pada jam 2.45 petang kelmarin selepas dia ditemui seorang peneroka yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Dia yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk menerima rawatan kini dilaporkan stabil, manakala rakannya Haslinda Isa, 44, tidak cedera.

Menceritakan detik cemas itu, Haslinda berkata, mereka mula masuk ke dalam gua berkenaan pada jam 11 pagi Selasa untuk bertapa.

myMetro 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment