August 1, 2014

Kanak-kanak hilang ditemui lemas

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat Khor Yi Jia yang ditemui lemas di kolam ikan Sungai Udang, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 31 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang petang semalam di kolam ikan Sungai Udang, dekat sini ditemui mati lemas tengah hari tadi.

Mangsa Khor Yi Jia yang juga murid darjah satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng ditemui pasukan bomba dan penyelamat kira-kira 200 meter dari tempat dilaporkan hilang.

Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perai, Fauzi Shuib berkata, seramai 10 orang anggotanya terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan kira-kira pukul 7.45 petang semalam sejurus menerima maklumat.

"Operasi juga melibatkan penggunaan aset seperti tiga bot dolphin, dua unit bot merah, empat pegawai scuba selain mendapat bantuan 10 anggota polis marin.

"Selepas empat jam, operasi ditamatkan malam tadi sebelum bersambung semula kira-kira pukul 7 pagi melibatkan kawasan seluas satu batu nautika dari tempat dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan mangsa bersama tujuh ahli keluarga termasuk ayahnya ke pelantar ikan di kolam berkenaan namun disedari hilang selepas itu dan dikhuatiri terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

Sementara itu mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Utusan 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment