August 19, 2014

3 anggota tentera maut dalam kemalangan di Kuantan

FOTO ihsan pembaca.

KEADAAN kereta Honda Civic Ferio yang dinaiki empat anggota tentera terjunam ke dalam parit selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, malam semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Tiga perwira maut

Kuantan: Tiga anggota tentera maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam satu kemalangan di Batu 3, Jalan Gambang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan menyebabkan Mohd Fahmi Jap, 23, Mohd Ilias Abu Seman, 23, dan Mohd Faizal Zainol, 26, maut di tempat kejadian manakala Shamzuri Awang, 23, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Honda dalam perjalanan dari bandar ini pulang ke Kem Batu 10, di sini.

Beliau berkata, kesemua mereka merupakan anggota tentera daripada Rejimen Pertama Kor Amor Diraja (1 KAD) dari Kem Batu 10 di sini.

"Setibanya di tempat kejadian kenderaan berkenaan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok dan masuk ke dalam longkang.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta itu remuk teruk dan kesemua mangsa tercampak keluar secara berasingan menyebabkan tiga daripada mereka maut serta merta di tempat kejadian," katanya.

Siasatan awal mendapati, kereta berkenaan dipercayai dipandu laju dan keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat.

myMetro 19 Ogos 2014


Buah tangan sebelum ‘pergi’

Pendang: Tingkah laku kurang ceria anggota tentera Muhammad Ilias Seman, 23, ketika menyambut Aidilfitri, baru-baru ini apabila lebih banyak berkurung dalam rumah dan merakam gambar bersama anak saudaranya bagai memberi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya.

Ibunya, Che Bashah Bakar, 63, berkata, dia tidak perasan sebarang perubahan pada diri anak bongsu daripada enam beradik itu, namun kakak-kakaknya ada menegur dia kelihatan tidak ceria dan langsung tidak keluar rumah untuk beraya di rumah sanak saudara.

Menurutnya, arwah sekadar duduk saja di dalam rumah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri dan banyak menghabiskan masa bergambar bersama anak-anak saudaranya dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Dia (Muhammad Ilias) kata hendak ambil gambar banyak-banyak supaya dapat ditatap semula sebagai pengubat rindu selepas kembali bekerja nanti.

“Malah, arwah juga memberi semua barang-barang berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan motosikal miliknya kepada ahi keluarga lain sewaktu balik beraya, baru-baru ini dan tidak menyangka rupa-rupanya itu pemberian terakhir arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Nan, dekat sini, semalam.

Menurutnya, walaupun terkejut dengan berita kematian anak bongsunya yang ditemui ketika pulang menyambut Aidilfitri kira-kira dua minggu lalu, namun mereka tetap reda dan menerimanya sebagai suratan takdir buat keluarga.

“Saya mendapat berita mengenai kematiannya kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) selepas kakaknya mendapat panggilan daripada majikan arwah.

“Takdir ini sudah tidak boleh diubah dan kami hanya mampu menunggu jenazah arwah tiba untuk menatap wajahnya buat kali terakhir,” katanya.

myMetro 20 Ogos 2014



0 comments:

Post a Comment