August 19, 2014

Selak telekung


Kota Bharu: “Saya sudah rasa tidak sedap hati ketika terpandang kereta bercermin gelap tiba-tiba berhenti di belakang kedai runcit itu.

“Sebab itu juga saya berpatah balik sebelum mereka tiba-tiba menarik dua tangan saya dari belakang dan memegang tengkuk,” kata Esah Seman, 72, yang diragut ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh di Kampung Mulong, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.50 pagi itu menyebabkan Esah kerugian RM3,000 apabila rantai lehernya direntap dan dia cedera ringan di lutut dan tangan.

Menceritakan detik cemas itu, warga emas terbabit berkata, dia berjalan sendirian dari rumahnya tidak jauh dari kedai runcit itu untuk solat Subuh di surau.

“Sudah jadi amalan saya berjalan kaki seorang diri melalui belakang kedai runcit ini kerana lebih dekat.

“Saya yang baru hendak melalui kawasan itu terus berpatah balik, tetapi tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua lelaki keluar dari kereta dan terus menyentap tangan saya ke belakang dan memegang tengkuk serta menyelak telekung yang saya pakai.

“Mereka menarik rantai leher emas yang saya pakai sebelum melepaskan tangan menyebabkan saya tersungkur dan luka di lutut dan tangan,” katanya, semalam.

Esah berkata, percaya lelaki berkenaan sudah lama memerhati sekitar kawasan berkenaan sebelum mendekatinya.

Katanya, syukur kerana ketika kejadian tidak memakai gelang tangan emas dan cincin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri jam 8 pagi hari kejadian dan kes disiasat Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

myMetro 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment