August 19, 2014

3 maut dihempap konkrit

Gambar The Star

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

RUNTUHAN konkrit di tapak projek pembinaan MRT di Kota Damansara, Selangor, malam tadi.

Petaling Jaya: Tiga pekerja warga Bangladesh maut dalam runtuhan bahagian konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara, di sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Muhamad Faruk Khan, 38; Mohammad Elahi Hossain, 27 dan Mohammad Alauddin Mollik, 34.

Beliau berkata, ketika kejadian jam 8.30 malam itu, tiga lelaki terbabit sedang melakukan kerja-kerja pemasangan satu bahagian konkrit pada ketinggian 38 meter bersama seorang lagi pekerja apabila ia terlucut daripada tiangnya dan jatuh ke tanah.

"Semasa runtuhan berlaku seorang pekerja sempat menyelamatkan diri dengan terjun dari lokasi pemasangan konkrit dan mengalami kecederaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.

Azhar berkata, tiga pekerja berkenaan dipercayai bekerja pada shif kedua sehingga awal pagi sebelum kejadian runtuhan berlaku.

Katanya, pihak MRT Corporation sudah menutup kawasan tapak projek selepas diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini kami terpaksa menutup tapak projek sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya.

Beliau memberitahu satu bahagian konkrit yang mempunyai 14 blok dianggarkan seberat 650 tan dan digunakan dalam pembinaan landasan MRT menuju ke arah selatan.

Beliau berkata, kawasan pembinaan yang mula beroperasi pada 2012 dan dijangka siap pada awal 2015.

Menurutnya, siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar runtuhan.

"Pihak MRT sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja dalam mereka yang bekerja di tapak projek," katanya.

myMetro 19 Ogos 2014


Konkrit tidak seimbang punca runtuh

KUALA LUMPUR 19 Ogos Kedudukan bongkah konkrit yang tidak seimbang semasa pemasangan tembok penghadang (parapet) dipercayai menjadi punca kejadian runtuhan yang mengorbankan tiga pekerja warga Bangladesh di tapak projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT), Kota Damansara di sini semalam.

Dalam kejadian kirakira pukul 8.30 malam itu, 14 bongkah konkrit seberat 650 tan tersebut dipercayai runtuh serentak hingga menyebabkan ketigatiga mangsa iaitu Mohamad Elahi Hossain, 27, Mohamad Faruk Khan, 38, dan Mohammad Alauddin Mollik, 34, yang sedang melakukan kerjakerja pemasangan tembok penghadang maut akibat tertimbus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohamed Sabri A. Samsudeen berkata, pihaknya dimaklumkan tiga pekerja berada di atas landasan konkrit tersebut untuk melakukan pemasangan tembok penghadang sementara seorang mangsa berada di bawah berdekatan lokasi kejadian.

"Pemasangan tembok penghadang di sebelah bahagian sahaja dipercayai menyebabkan konkrit landasan berat sebelah sebelum terpusing ke kanan dan runtuh dari ketinggian 38 meter serta menghempap ketigatiga pekerja yang sedang menjalankan kerja pemasangan.

"Mangsa yang berdekatan lokasi sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan. Kita mengalami cabaran yang sukar memandangkan perlu memecahkan bongkah kepada beberapa bahagian sebelum boleh dialihkan dan memudahkan kerja mengeluarkan mayat yang tertimbus," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah Mohamed Sabri, pihaknya berjaya menemui mayat pertama iaitu Mohamad Elahi, pada pukul 2.34 pagi selepas beberapa jam operasi dijalankan.

"Pencarian dua lagi mayat iaitu Mohamad Faruk dan Mohammad Alauddin diteruskan dengan operasi pemotongan bongkah konkrit sehingga pukul 9 pagi ini. Keduadua mayat hanya berjaya ditemui dalam timbunan konkrit pada pukul 1.35 petang ini.

"Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat," katanya lagi.

Menurutnya, 25 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian manakala 19 anggota polis dan 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid yang ditemui di lokasi kejadian pagi ini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca kejadian termasuk pematuhan kerja yang dilakukan oleh kontraktor projek.

"MRT akan memberi apa sahaja keperluan yang diperlukan ahli keluarga bagi membantu mereka di saatsaat sukar ini.

"Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan akan menghantar laporan lengkap kejadian ini kepada mereka setelah semua penyiasatan dan punca dikenal pasti," katanya sebelum mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa sertamerta sebagai mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, petang ini.

Utusan 20 Ogos 2014


Jenazah mangsa runtuhan diterbangkan ke Bangladesh hari ini

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jenazah tiga mangsa insiden runtuhan konkrit di tapak projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara akan diterbangkan ke Bangladesh, awal pagi esok.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Amir Mahmood Razak berkata, kesemua waris dan keluarga mangsa di Bangladesh telah dihubungi dan akan menyambut ketibaan jenazah.

"Pihak kami bersama Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn. Bhd. (SMPP) pada masa ini berhubung rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dalam menguruskan penghantaran balik jenazah ke negara berkenaan.

"Malah, kami juga telah menghubungi keluarga mangsa berhubung insiden itu. SMPP akan mengadakan majlis tahlil untuk mangsa dan solat jenazah ghaib esok di kawasan penempatan pekerja MRT, berhampiran dengan lokasi kejadian.

"MRT Corp merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian malang ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut dihempap landasan konkrit seberat 650 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Kota Damansara pada 8.30 malam.

Pekerja berkenaan adalah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik yang mula bekerja di negara ini pada Mac lalu.

Dalam pada itu Amir berkata, MRT Corp juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan lanjut berikutan siasatan awal menunjukkan kontraktor terlibat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak bertanggungjawab yang telah membenarkan kerja dibuat tanpa SOP. Jadi kami perlu menyiasat kenapa SOP itu tidak dipatuhi dan mencari penyelesaian bagi memastikan insiden ini tidak berulang," katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja di tapak projek akan diteruskan kecuali di V1 yang dijangka ditutup selama dua minggu. "Kami juga telah menasihatkan MMC Gamuda yang juga merupakan rakan pelaksana projek untuk memastikan amalan keselamatan menjadi keutamaan di tapak pembinaan," katanya.

Utusan 21 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment