July 31, 2014

Tiga motosikal terlibat kemalangan, seorang maut

MELAKA - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan dua lagi motosikal lain di Jalan Tambak Bugis, Alai Melaka, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohd Hairul Abd Ghani, 27, dari Kampung Telok Emas, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk dan sebahagian anggota badan.

Menurut saksi, kemalangan dipercayai berlaku apabila salah sebuah motosikal terbabit cuba memotong kenderaan di laluan sama.

Bagaimanapun, motosikal yang memotong kenderaan itu telah berlanggar dengan dua buah motosikal lain dari arah bertentangan.

Empat lagi mangsa lain yang menunggang serta membonceng motosikal itu cedera dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd. Ghani Hitam, 52, berkata, sebelum kejadian, dia sekeluarga sempat keluar berhari raya menziarahi sanak- saudara di sebelah siang.

“Pada sebelah malam, dia memberitahu hendak keluar sebentar untuk membeli rokok. Tapi, saya tidak sangka dia terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.

Abang mangsa, Mohd Sharil, 30, pula menyifatkan adiknya seorang yang aktif dalam kegiatan kampung termasuk marhaban dan kompang.

“Bukan sahaja kami sekeluarga kehilangannya malah rakan-rakan sekampung juga turut merasainya apatah lagi arwah aktif dalam persatuan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehuddin Abdul Rahman mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Sinar Harian 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment