July 31, 2014

Mimpi pakai jubah putih

TAMPIN – "Tiga hari sebelum kejadian, saya mimpi dia pakai jubah putih," kata Khalid Md Dah, 49, bapa kepada mangsa kemalangan di Kilometer 38 Jalan Gemas-Tampin, di sini, dalam kejadian malam kelmarin.

Khalid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tenai berkata, anaknya, Muhammad Alif Khalid, 18, maut apabila motosikal ditungganginya melanggar belakang kereta, dipercayai ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas beraya.

"Saya tak sangka mimpi itu petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya, " katanya sedih.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, Muhammad Alif disahkan maut akibat cedera parah di tengkuk.

Menurut Khalid, kira-kira jam 3 petang sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya pergi keluar beraya.

“Arwah sempat beraya sebanyak dua kali di rumah kawan baiknya (Razak Hafiz, 18) pada hari raya pertama.

"Arwah seorang yang baik dan menghormati orang tua. Dia tidak pernah menyusahkan saya dan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.

Difahamkan, arwah bakal menamatkan pengajian di Kolej Vokasional (KV) Dato' Lela Maharaja dalam kursus Mekanisasi Agro dan merancang untuk meneruskan perniagaan bapanya dalam bidang ternakan termasuk rusa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Gemas ke Gemencheh melanggar belakang kereta jenis Nissan Almera yang ingin masuk ke persimpangan kiri jalan.

“Kereta berkenaan dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk beraya di rumah saudaranya. Mangsa dikejarkan ke Hospital Tampin, namun disahkan meninggal dunia di hospital beberapa jam kemudian," katanya.

Sinar Harian 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment