July 31, 2014

Terbabas diserang sawan

Malang tidak berbau buat seorang ustaz apabila dia maut selepas motosikal ditunggang bersama anaknya terbabas sejurus dia diserang sawan menyebabkan kedua-dua beranak itu terjatuh ke dalam longkang di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 10.40 pagi ketika mangsa, Md Yusoff Shamsudin, 41, menunggang motosikal Honda Wave bersama anak keduanya, Adi, 12, dari Taman Pokok Sena untuk ke pasar awam di pekan ini.

Difahamkan, mangsa pernah diserang sawan dua kali sebelum ini dalam dua kejadian berasingan ketika membawa anak sulungnya, Arrifaie, 13, dan anak bongsu, Adam, 7, menyebabkan dua anaknya cedera ringan.

Bagaimanapun, dalam kejadian semalam, mangsa diserang sawan secara tiba-tiba membuatkan dia hilang kawalan sebelum motosikal terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang longkang.

Berikutan itu, kedua-dua beranak berkenaan jatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter, namun ketika itu air cetek.

Menurut Adi, motosikal ditunggang bersama bapanya tersangkut pada tembok manakala dia dan bapanya terjatuh dalam longkang.

“Sebaik tejatuh, saya cuba bangun walaupun lutut kiri cedera dan pakaian basah kuyup, bapa pula tidak dapat bergerak.

“Beberapa minit kemudian saya jadikan besi penghadang longkang sebagai tangga naik sebelum meminta bantuan orang ramai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, mangsa hanya dapat dinaikkan 30 minit kemudian oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor sebelum pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Adi berkata, sebelum ini bapanya diserang sawan ketika memandu kereta bersama abangnya disusuli kejadian kedua ketika menunggang motosikal bersama adiknya.

Isteri mangsa, Jamaliah Mohamad, 38, tidak dapat menahan kesedihan sebaik tiba di tempat kejadian sehingga terpaksa ditenangkan orang ramai.

Mayat mangsa dihantar ke HKB untuk dibedah siasat.

myMetro 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment