July 31, 2014

Tragedi kambing panggang

Alor Gajah: Kegembiraan seorang lelaki menjamu daging kambing panggang dalam satu majlis perjumpaan semula berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa Abdul Kader Joned, 45, dari Kampung Londang, Masjid Tanah disahkan meninggal dunia oleh doktor kira-kira jam 11.30 pagi ketika menerima rawatan di klinik itu selepas mengadu sakit perut dan pinggang. Menurut sumber, mangsa yang menggemari daging kambing panggang menjamu makanan itu dua hari berturut-turut ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri dan majlis perjumpaan semula bersama bekas rakan sekolahnya itu malam kelmarin.

“Mangsa seorang yang aktif dan tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, namun pagi tadi (semalam) dia mengadu sakit perut dan pinggang kepada rakannya sebelum dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika dalam perjalanan dia yang dalam keadaan pucat sempat berjenaka, tetapi sebaik tiba di klinik keadaan mangsa bertambah kritikal sebelum disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

myMetro 1 Ogos 2014


Bukan kerana kambing bakar

ALOR GAJAH - "Tak ada pula dia kata sakit kerana salah makan," kata Ahmad Firdaus Mohamad, 31, rakan kepada seorang lelaki yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini selepas mengadu sakit perut.

Ahmad Firdaus berkata, Abdul Kader Joned, 45, meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas dia membawa rakannya itu ke klinik berkenaan, bagaimanapun puncanya setakat ini masih belum diketahui.

Menurutnya, dia yang secara kebetulan mengunjungi rumah arwah di Kampung Lodang mendapatkan bantuan abang selepas mangsa mengadu sakit perut.

"Sebenarnya, pada malam raya, saya ada bertemu arwah. Ketika itu lagi dia mengadu sakit perut dan dada. Namun, tiada pula dia mendakwa sakit kerana salah makan atau disebabkan perkara lain.

“Kebetulan saya ke rumahnya lebih kurang 10 pagi tadi (semalam) dan arwah mengatakan dia sakit perut sebelum saya hubungi abang saya untuk bawa dia ke klinik,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Alor Gajah, di sini, semalam.

Ahmad Firdaus berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan  mengatakan Abdul Kader meninggal dunia akibat terlebih makan kambing bakar dalam satu perjumpaan hari raya di tepi pantai pada malam sebelum kejadian, seperti dilaporkan dalam sebuah portal media tempatan, semalam.

Menurut Ahmad Firdaus, ketika tiba di klinik, dia bersama dua orang lagi terpaksa mendukung arwah yang lemah dan tidak mampu berjalan ke katil di zon merah unit kecemasan.

Malah, katanya, dia melihat sendiri arwah sesak nafas dan jantungnya terhenti kira-kira 15 minit kemudian.

“Doktor cuba menekan dan mengepam dadanya kira-kira setengah jam, namun tiada tindak balas daripada arwah yang kemudian disahkan meninggal dunia.

"Dia tidak punyai sebarang penyakit, malah tiada  sebarang rekod perubatan di klinik,” katanya.

Menurutnya, arwah yang dikenali sejak kecil hanya bekerja kampung mengambil upah menoreh getah, menjaga kebun, selain menternak itik.

Sementara itu, abang Abdul Kader, Abdul Gaffar, 61, yang menetap di Lubok China berkata, adik bongsu yang masih bujang itu seorang pendiam dan tinggal sendirian lebih 10 tahun di rumah terletak kira-kira 700 meter dari rumah ibu mereka.

“Arwah dengan keluarga memang tak banyak cakap dan bercerita apa-apa pun hanya pada rakan-rakan terdekat sahaja. Ketika saya berjumpa dia pada malam raya, tiada pula dia cakap dia sakit perut dan dada.

“Sebelum bedah siasat selesai, doktor pun masih tidak tahu apa punca kematiannya. Tapi mungkin musim raya ini memang dia ada pergi  rumah terbuka dan berjalan raya, makan itu ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Laham berkata, kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.

"Setakat ini poli masih menunggau laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya.

Sinar Harian 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment