July 31, 2014

‘Azli di mana kau nak’

Kelibat seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Sahar, 77, gigih menjinjit sebuah beg berisi pakaian sudah menjadi pandangan biasa bagi penghuni dan pekerja di Rumah Seri Kenangan Cheras di sini, sejak awal tahun lalu.

Setiap hari bermula jam 7 pagi, rutin Pak Sahar ialah berjalan membawa beg berkenaan kira-kira 50 meter dari biliknya ke bahagian hadapan rumah berkenaan untuk menanti kehadiran zuriatnya yang dikenali sebagai Azli.

Dari raut wajahnya yang merenung pintu masuk rumah kebajikan itu, tiada siapa menduga apa sebenarnya yang tersirat di hati warga emas itu apabila sanggup berjalan kira-kira 50 meter dari biliknya membawa beg melebihi 6 kilogram.

Pak Sahar berkata, dia tidak akan berganjak dari pendiriannya kerana percaya anak lelakinya itu tidak akan memungkiri janji.

“Saya sudah bosan hidup di sini dan terlalu rindukan Azli.

Dia pernah berjanji akan bawa saya pergi dari sini tetapi sampai sekerang tidak muncul.

“Saya tetap tidak akan berputus asa tunggu dia di sini setiap hari,” katanya.

Menurut Sahar yang berasal dari Raub, Pahang itu, dia dipindahkan ke rumah berkenaan dari Rumah Seri Kenangan Seremban pada Januari lalu.

“Saya mempunyai tiga anak.

Selepas kematian isteri kerana masalah jantung pada 1970, saya merantau ke Kuala Kubu Bharu, Selangor dengan melakukan kerja kampung.

“Selepas beberapa tahun hidup menyendiri, saya memohon ke Rumah Seri Kenangan dan ditempatkan di Seremban.

“Pada mulanya Azli sering melawat saya, namun lama kelamaan terutama selepas berpindah ke sini, dia langsung tidak menjenguk saya lagi,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang petugas Rumah Seri Kenangan Cheras yang mahu dikenali sebagai Siti, 28, Sahar dimasukkan ke rumah kebajikan itu selepas dipindahkan dari Seremban Januari lalu.

“Setiap hari jika bukan waktu pagi, Pak Sahar pasti kelihatan di sini membawa beg pada sebelah petang.

“Kami kasihan melihat kesungguhannya itu, namun Pak Sahar tetap dengan pendiriannya menanti anaknya yang tidak pernah muncul.

“Oleh itu, bagi meringankan penderitaannya kami menyimpan beg berisi pakaian ini di dalam pejabat yang berhampiran dengan lokasi Pak Samad menunggu anaknya,” katanya.

myMetro 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment