July 31, 2014

Pengasas Festival Filem Malaysia meninggal dunia

Kuala Lumpur: Pengasas Festival Filem Malaysia (FFM) Norshah Tambi, 75, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Malaysia, Sungai Besi di sini, malam tadi.

Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pertama menghembus nafas terakhir kira-kira jam 9.30 malam.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Norafidah, 46, kesihatan bapanya terjejas selepas terjatuh di rumah sehari sebelum Ramadan.

"Sejak kejadian itu, arwah terlantar di katil selama sebulan dan meninggal dalam tidur semalam," katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, di sini tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Patemah Alias dan tiga anak.

Norshah adalah bekas Pengarang Utusan Zaman dan Pengarang majalah URTV.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Promosi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Pada 1980, Allahyarham bersama wartawan hiburan tempatan menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM).

myMetro 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment