July 31, 2014

Warga emas maut diseret

KOTA BHARU - Seorang warga emas maut selepas terseret sejauh 44 meter, akibat dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR berhampiran selekoh Bunut Payong, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, mangsa Ong Foo Nong, 78, yang berjalan kaki sambil menolak basikalnya dipercayai dilanggar selepas penunggang motosikal dari arah Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu gagal mengelak mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar berkata, penunggang remaja berusia 18 tahun itu, cuba membrek namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan motosikal berkenaan melanggar basikal yang ditolak mangsa dan menyebabkan warga emas itu terseret.

“Manakala penunggang motosikal juga turut melambung di atas bahu jalan berhampiran sebuah syarikat insurans di sini.

“Penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan namun dilaporkan stabil dan ditempatkan di zon kuning wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala mayat warga emas berkenaan di hantar ke unit forensik untuk bedah siasat,” katanya.

Idris berkata, motosikal terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala basikal rosak di bahagian tengah sebelah kiri.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987 dan sebarang maklumat lanjut boleh salurkan kepada balai terdekat,” katanya.

Sinar Harian 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment