July 31, 2014

Wanita ditinggalkan rayu suami pulang bersama anak

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah kini hidup dalam kebuntuan kerana bukan saja ditinggalkan suami tanpa khabar berita bahkan dia tidak dapat bertemu anak lelakinya sejak setahun lalu.

Mangsa, Lew Lee Ying, 34, memberitahu rumah tangganya mula goyah sejak tahun lalu selepas suaminya yang juga pemandu bas di Johor Bahru, Johor jarang pulang ke rumah dan tidak mengambil tahu mengenai keluarga.

“Pada satu hari dia pulang ke rumah dia beritahu mahu membawa anak kami pergi ke Kuching, Sarawak kerana mahu mereka bersekolah di sana dan tinggal bersama ibu bapanya.

“Suami berjanji akan selalu membawa saya ke Kuching untuk melawat anak lelaki kami tapi dia tidak pernah menunaikannya sebaliknya dia memberitahu dia mahu saya tinggal bersama ibu bapa saya kerana dia sangat sibuk,” katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam.

Lew yang sebelum ini tinggal bersama suaminya di Kluang, Johor, begitu tertekan selepas dia berpindah ke rumah ibu bapanya di Seremban, Negeri Sembilan kerana suaminya langsung tidak memberikan nafkah serta  melawatnya sebaliknya terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Lew memberitahu dia pernah beberapa kali menghubungi mereka malah turut pergi ke Kuching bagi mencari mereka namun alamat yang diberikan suami pada masa lalu hanyalah alamat palsu.

Lew turut merayu agar suaminya, Tan Cho Yaw, 36 dan anak mereka Kenny Tan Yaw Wee, 11, pulang ke rumah dan hidup sebagai satu keluarga.

“Saya minta kalau suami saya ingin bercerai, dia perlu lakukan mengikut prosedur yang betul jangan buat begini dan melarikan anak kami,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong memohon orang ramai agar bersama-sama membantu mengesan seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga pemilik kedai herba di ibu negara yang dilaporkan hilang oleh kakaknya sejak Januari lalu.

 Mangsa Loh Kai Choong sebelum ini memberitahu kakaknya dia terpaksa ke Kuantan, Pahang atas urusan kerja sejak September tahun lalu dan kali terakhir menghubungi kakaknya melalui laman sosial Facebook pada Januari sebelum hilang tanpa khabar berita.

Menurut kakaknya Loh Sook Fun, 39, memberitahu adiknya memiliki ketinggian kira-kira 160sm dan berkulit coklat serta memandu kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga mangsa hilang boleh menghubungi bilik gerakan Biro Aduan MCA di talian 03-22033888.

myMetro 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment