July 25, 2014

Penganggur maut ditetak


MIRI: Seorang penganggur maut setelah diserang dua lelaki yang bersenjatakan parang dan batang besi dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah hotel bajet di Jalan Tritonia di sini petang kelmarin.

Mangsa, Lee Hua Dung, 37, yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu, mangsa sedang berada di kawasan belakang hotel bajet tersebut apabila didatangi oleh empat lelaki, dua daripadanya bersenjatakan parang panjang dan batang besi.

Kedua-dua lelaki terbabit terus bertindak menyerang mangsa sambil mengejarnya di sekeliling bangunan hotel tersebut.

Meskipun cedera parah di kepala dan kaki setelah ditetak dari arah belakang, namun mangsa masih mampu melarikan diri ke kawasan hadapan sebuah kedai runcit yang terletak berhampiran sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Orang awam yang melihat kejadian itu, segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa yang merupakan seorang penganggur telah menginap seorang diri di hotel bajet tersebut.
Sekitar jam 5 petang, mangsa telah didatangi empat lelaki, dua daripadanya bersenjatakan parang panjang dan batang besi.

Manakala mangsa hanya bersenjatakan sebatang kayu.

“Dua lelaki terbabit lalu bertindak menyerang mangsa sambil mengejarnya di sekeliling bangunan hotel bajet tersebut, manakala dua lagi rakan suspek hanya duduk di atas motosikal.

“Dua suspek yang menyerang mangsa berbadan kecil, masing-masing memakai topi keledar dan dipercayai berketurunan Melayu serta berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Menurut Gan, sebelum kejadian iaitu sekitar jam 3.30 petang hari sama, mangsa juga telah dilihat bergaduh dengan dua suspek yang sama di tepi premis kedai runcit berkenaan.

“Ketika itu, dua suspek terbabit dilihat bersenjatakan satu objek menyerupai batang besi.

Namun tiada laporan polis dibuat mangsa,” katanya sambil memberitahu penyerang terbabit dilihat menaiki motosikal jenis Honda EX5.

Katanya, mangsa yang cedera parah telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Miri namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 8 malam ketika sedang menerima rawatan.

Sehubungan itu kata Gan, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Utusan Borneo 24 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment