July 25, 2014

Polis cari lelaki tendang remaja dalam klip video


KLIP video memaparkan seorang lelaki menerajang seorang remaja yang tersebar di laman sosial.

KUALA LUMPUR 22 Julai - Polis ingin mengesan seorang lelaki yang menendang seorang remaja lelaki dan rakaman klip videonya berdurasi satu minit kini tersebar di laman-laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya hari ini memohon orang ramai membantu pihaknya mengesan lelaki terbabit.

"Kejadian berlaku pada penghujung 2013 yang mana pesalahnya dipukul oleh orang ramai. Polis telah membuka kertas siasatan kes itu pada hari kejadian tetapi malangnya lelaki (menendang pesalah) itu tidak dapat dikesan.

"Polis tidak akan bias, semua kesalahan akan disiasat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita semua perlu hormat pada sistem undang-undang," katanya,

Sementara itu, kejadian tersebut melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun yang ditangkap orang ramai setelah dipercayai terlibat dalam satu kes ragut di hadapan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Petaling, Sungai Besi, pada 22 September tahun lalu.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, remaja tersebut sedang menaiki sebuah motosikal bersama seorang pembonceng sebelum rakannya itu memintanya berhenti dan meragut rantai seorang wanita dipercayai warga Filipina.

Rakannya kemudian melarikan diri. Insiden itu dilihat seorang lelaki yang memandu sebuah kereta lalu bertindak merempuh motosikal remaja berkenaan.

Remaja itu seterusnya dapat ditangkap sebelum diikat dengan tali pinggang dan dipukul di bahagian kepala, leher dan hidung,

Lelaki yang memukul remaja itu turut meminta orang ramai merakam gambar aksinya sedang menendang remaja tersebut dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu yang melibatkan remaja bawah umur.

Utusan 23 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment