July 25, 2014

Tembak jarak dekat, mangsa mati di hospital


Pemilik pusat hiburan maut selepas ditembak dua lelaki dipercayai pembunuh upahan

MIRI: Seorang pemilik pusat hiburan maut setelah ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki dipercayai pembunuh upahan yang bersenjatakan pistol dalam kejadian di sebuah kawasan lapang dalam hutan di Kampung Lusut di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Chiong Siong Yu, 45, yang cedera parah akibat ditembak di bahagian dahi dan pipi kanan serta bahu kiri dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan, namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Terdahulu, menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 10.15 malam itu, ketika berada di sebuah kawasan lapang dalam hutan di Kampung Lusut, mangsa didatangi oleh dua lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan sepucuk pistol.

Dua lelaki terbabit telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan yang tidak diketahui jenisnya.

Difahamkan, kawasan lapang tempat kejadian itu terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar dan dipercayai tempat persembunyian aktiviti sabung ayam haram dan perjudian milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Katanya, sekitar jam 10.50 malam kelmarin, seorang anggota polis yang bertugas di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Pusat Miri ada menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian orang kena tembak menggunakan senjata api dipercayai jenis pistol.

Pemanggil terbabit memberitahu mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan itu, kata Gan, anggota terbabit menghubungi unit kecemasan hospital dan dimaklumkan oleh seorang pembantu perubatan bertugas bahawa seorang lelaki Cina yang ditembak di dahi dan pipi kanan serta bahu kiri berada dalam keadaan kritikal.

“Mangsa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan tersebut,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal polis, katanya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.15 malam kelmarin ketika mangsa berada di sebuah kawasan lapang dalam hutan di Kampung Lusut di sini.

Menurut beliau, mangsa telah didatangi dua lelaki bertopeng, seorang berbadan gempal dan seorang bersaiz sederhana yang masing-masing bersenjatakan pistol.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian, katanya, telah menjumpai sembilan kelongsong peluru jenis .45 auto, satu anak peluru dan satu butir peluru hidup.

Sehubungan itu, kata Gan, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui motif dan punca kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Berikutan itu, polis telah melancarkan gerakan memburu kedua-dua suspek terbabit untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Utusan Borneo 24 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment