July 21, 2014

Kempunan berbuka dengan mentua

SEPASANG suami isteri terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Lipis-Merapoh.

Kuala Lipis: Hasrat seorang wanita yang baru dua bulan berkahwin untuk berbuka puasa di rumah ibu mentuanya tidak kesampaian apabila dia bersama suaminya terbunuh selepas kereta Nissan Almera yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir, di Jalan Kuala Lipis-Merapoh, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Nurul Afiqah Abd Manaf, 26, berasal dari Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur bersama suaminya, Mohamed Aliff Datu Salleh, 28, berasal dari Kampung Kubur Datu, Jeli, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, Nurul Afiqah yang bekerja sebagai Eksekutif Prasarana Negara Berhad LRT/MRT di Kuala Lumpur dan suaminya sebagai juruteknik Rapid KL, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Jeli, Kelantan dari Kuala Lumpur untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah Mohamed Aliff dan mereka sepatutnya dijadualkan tiba sebelum jam 7 petang.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, pemandu lori berusia 50 tahun itu yang membawa muatan pasir dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pada sama sama, secara kebetulan lori membawa muatan pasir itu secara tiba-tiba mengundur selepas pertembungan itu lalu melanggar pula lori membawa muatan durian kampung yang mengekori,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lipis untuk siasatan lanjut termasuk menjalani ujian air kencing dan darah.

Katanya, kejadian itu berlaku di laluan selekoh, manakala permukaan jalan rata serta keadaan cuaca baik dan terang.

Abdul Razak berkata, jenazah kedua-dua mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga mereka untuk urusan pengebumian.

myMetro 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment