July 21, 2014

Ajal sejam sebelum berbuka

Mohd Yusri yang mengalami pendarahan teruk di kepala meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian. Gambar kecil: Mohd Yusri

KEMAMAN – “Lepas 10 minit selisih dengannya di tengah jalan, tiba-tiba saya dapat tahu dia maut langgar lembu,” kata bapa kepada seorang pelajar Kolej Universiti Tati (Tatiuc), Mohd Yusri Mohd Noor, 19, yang terbunuh dalam kemalangan kira-kira sejam sebelum berbuka puasa, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja secara sambilan sebagai juru kimpal di Bandar Baru Kerteh, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ranggon Estet sebelum melanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba.

Nahas kira-kira jam 6.40 petang di Jalan Batu Putih berdekatan Lapangan Terbang Kerteh itu menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak sejauh kira-kira lima meter dari motosikalnya.

Mohd Noor Musa, 53, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, tragedi itu cukup memilukan, lebih-lebih lagi Aidilfitri hanya tinggal seminggu.

Katanya, ketika berselisih dengan anaknya itu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah sekolah menengah di Kerteh.

“Sebaik sampai, saya terima panggilan daripada seorang kenalan yang memaklumkan nahas menimpa anak. Tempat kejadian cuma dua kilometer dari tempat kerja saya. Saya bergegas ke sana, melihat jasad anak yang sudah kaku atas jalan, tubuh saya menggeletar, rasa sangat sedih,"  katanya.

Kata Mohd Noor, lidahnya kelu sebaik sahaja melihat jasad anaknya yang berlumuran darah kerana darah membuak-buak keluar dari kepala, sebelum orang ramai yang melihat kejadian itu menutupnya dengan sebidang tikar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment