July 21, 2014

Peragut parah dirempuh

KEADAAN kereta mangsa ragut yang rosak selepas merempuh suspek.

Kuala Lumpur: Seorang peragut bermotosikal parah manakala rakannya melarikan diri selepas dirempuh dengan kereta oleh wanita warga Kazakhstan diragut mereka di Jalan Tun Razak di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia 18 tahun pada mulanya memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan cota sebelum mengambil beg tangan diletakkan di bahagian kaki penumpang hadapan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, tindakan itu mengakibatkan mangsa yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini kerugian hampir RM2,000 termasuk mata wang asing dan dokumen peribadi.

“Berang dengan tindakan suspek, mangsa mengejar suspek sehingga ke Lorong Raja Muda Abdul Aziz menghala ke Jalan Tun Razak.

Suspek cuba melarikan diri dengan melintas pembahagi jalan, namun mangsa terus memecut laju dan merempuh suspek,” katanya.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua suspek terpelanting lebih 10 meter dan seorang daripada mereka parah manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Zainuddin berkata, selepas melanggar suspek, kereta mangsa tersangkut di pembahagi jalan sebelum dirempuh kereta lain dari arah yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa hanya cedera ringan manakala suspek yang parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek kini diburu dan kes disiasat mengikut seksyen 395 Kanun Keseksaan.

myMetro 21 Jul 2014



0 comments:

Post a Comment