May 29, 2014

Anak kecil sudah berjasa

DONA yang terlantar bergantung sepenuhnya kepada isteri dan anak.

Kuala Lumpur: Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain, pada usia masih mentah Mohd Nur Haikal, 6, dan adiknya Mohd Nur Hakimi, 5, sudah mengenal erti tanggungjawab menjaga bapa yang terlantar akibat penyakit arthritis atau chronic tophaceous gout tahap empat ketika ibu mereka keluar bekerja.

Tanpa mengira erti geli, kanak-kanak cilik itu sanggup bergelumang bau hamis darah bapa mereka Dona Marita Amir Naim, 30, yang tidak berdaya kerana kaki serta tangannya membengkak dan membusuk akibat gout kronik.

Setiap hari mereka setia menyuapkan makanan dan minuman kepada Dona Marita bagi menggantikan tugas ibu mereka Siti Salbiah Mustoki, 26, yang terpaksa bekerja untuk menyara mereka empat beranak sejak empat tahun lalu.

Siti Salbiah bekerja di sebuah klinik pergigian di Batu Caves di sini, dengan pendapatan RM850 sebulan.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pilihan meninggalkan kedua-dua anak menjaga suaminya dari 7 pagi hingga 5 petang. “Tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya ini sampaikan sudah tiada air mata untuk menangis lagi.

“Dugaan ini sungguh berat hingga ada orang suruh kami bercerai, namun demi kasih sayang pada mereka bertiga, saya tidak peduli apa orang kata dan perlu kuat teruskan hidup.

“Kalau saya tidak bekerja siapa lagi yang akan sara kami empat beranak?,” katanya.

Menurut Siti Salbiah, penyakit suaminya yang sebelum ini menyara mereka sekeluarga sebagai pemandu teksi dikesan pada 2010.

“Suami hendak pergi bekerja pada waktu itu, namun urat kaki dan tangannya kejang dan tidak dapat bergerak.

“Sejak itu, dia tidak mampu bergerak dan hanya terbaring lemah di atas katil, malah semakin hari kaki serta tangannya membengkak, membusuk dan menjadi kehitaman.

“Malah, adakalanya kesabaran saya sebagai isteri teruji apabila melihat kesengsaraan suami ketika penyakitnya datang menyerang,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Wira Damai di sini, semalam.

Keluarga terbabit ditemui selepas menerima kunjungan daripada Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Tengah Lim Yoke Foong serta Pengurus Econsave Cawangan Setapak Azman Mohamad Ali yang bersimpati dengan nasib mereka baru-baru ini.

Pihak pasar raya berkenaan menghulurkan bantuan barangan keperluan harian berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban penderitaan keluarga terbabit sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat kurang bernasib baik.

Sementara itu, Dona Marita berkata, dia kini bergantung nasib dengan akar kayu dan ubat tahan sakit yang dibeli dari klinik.

“Boleh dikatakan saya hampir berputus asa kerana selama empat tahun lebih ini sudah bermacam-macam cara kami usahakan termasuk rawatan moden di hospital dan perubatan tradisional, namun sampai sekarang penyakit tidak sembuh, malah semakin teruk.

“Adakalanya apabila penyakit datang menyerang, kaki dan tangan saya sakit seperti dicucuk jarum dan kaca. “Kini, apapun yang terjadi saya bertawakal saja selain berharap isteri dan anak tetap sabar di sisi saya,” katanya yang menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Mac lalu.

myMetro 29 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment