May 30, 2014

Kanak-kanak dibunuh kejam dengan kepala dipotong


Foto NST

Foto NST

Foto NST

Kuala Lumpur: Menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan kepalanya bercerai dari badan di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur, Jalan Hishamuddin di sini, malam tadi.

Kanak-kanak malang berusia antara dua hingga tiga tahun berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam dipercayai dikelar seorang lelaki warga asing yang sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan dibawa lari oleh suspek berkenaan dari sebuah pusat beli belah di Pudu Sentral ketika ditinggalkan bersama rakan ibunya.

"Polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri sebaik menyedari tindakannya mengelar leher mangsa dilihat orang awam dan usaha mengesan lelaki warga asing berusia 30-an itu sedang giat dijalankan.

"Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat pengecaman, namun belum disoal siasat berikutan keadaan ibunya yang hampir pengsan sebaik melihat keadaan anaknya," katanya.

Menurut Zainuddin, pemeriksaan di tempat kejadian menemui serpihan marble berhampiran mayat dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

Motif sebenar kejadian itu masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 29 Mei 2014


Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam


Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.



KUALA LUMPUR 30 Mei - Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi berkenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam.

Utusan 31 Mei 2014


Anak Saya Dah Mati - Ibu Siti Soffea

PETALING JAYA: "Anak saya dah mati." Itu sahaja ungkapan yang dapat diluahkan ibu kanak-kanak perempuan dua tahun yang ditemui mati tanpa kepala ketika didekati wartawan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jeritan yang menggambarkan beratnya penderitaan ditanggung berikutan nasib buruk yang menimpa anaknya itu, Siti Soffea Emelda Abdullah.

Dalam keadaan bingung, Siti Salmy Suib, 32, tiba di rumah mayat HKL bersama empat rakannya, kira-kira pukul 9 pagi, Jumaat.

Ibu yang memilih menjadi gelandangan itu dilihat berjalan dengan pantas, seolah-olah mahu memastikan semua persiapan untuk menuntut jenazah anaknya selesai secepat mungkin.

Malah, setiap kali wartawan mendekatinya, Siti Salmy akan menutup mukanya dengan kain putih.

Kira-kira pukul 11.45 pagi, ibu berkenaan dilihat meninggalkan HKL dengan menaiki kereta polis sebelum kembali semula ke hospital berkenaan pada pukul 2.30 petang.

Sebaik selepas pengebumian Siti Soffea di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak, beliau yang sekali lagi didekati wartawan dengan nada marah berkata: "Saya dah cakap tak nak cakap. Tak faham bahasa kah?

Seorang pekerja di Kompleks Kota Raya berkata, Siti Salmy dan anaknya hampir setiap hari dilihat berada di kompleks berkenaan dan selalunya membawa beg plastik mengandungi baju mereka.

“Dia seorang kanak-kanal yang comel dan disukai ramai. Malah, ada pekerja di sini yang akan memberikan makanan dan minuman kepadanya," katanya menceritakan mengenai mangsa pembunuhan kejam itu.

Kata pekerja itu lagi, Siti Salmy dan Siti Soffea yang kebiasaannya berada di kompleks berkenaan sehingga malam akan mandi di tandas kompleks itu.

"Kebanyakan pekerja di sini mengenali mereka," katanya sambil menambah Siti Salmy kebiasaannya akan menghabiskan masa bersama rakannya di tingkat empat kompleks itu yang menempatkan pusat permainan kanak-kanak dan karaoke.

Ibu kanak-kanak yang mempunyai dua lagi anak pernah memberitahu dia menghantar anaknya yang lain itu ke kampung.

mStar 31 Mei 2014


0 comments:

Post a Comment