May 29, 2014

Maut dirempuh lori selepas jemput isteri

MOTOSIKAL jenis Modenas milik mangsa remuk selepas dirempuh oleh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Demak Laut, Kuching semalam.

KUCHING: Pulang menjem­put isteri, si suami maut akibat kecederaan parah selepas mo­tosikal yang ditunggangi oleh mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Demak Laut, dekat sini petang semalam.

Mangsa yang maut ialah Khairul Makri, 23, manakala isterinya Izzah Abdullah, 22, dikhuatiri mengalami patah tulang kaki dan tangan.

Menurut sumber, semasa kejadian pasangan suami isteri itu yang menaiki sebuah mo­tosikal jenis Modenas Kriss dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sejingkat sekitar jam 4.15 petang.

“Mangsa baharu sahaja menjemput isterinya pulang dari kerja dan semasa dalam perjalanan pulang, motosikal mereka telah dirempuh se­buah lori yang tiba-tiba mem­belok masuk ke satu simpang perumahan.

“Kedua-dua mangsa yang terperosok di bawah lori tersebut telah diheret kira-kira tiga meter dari tempat kejadian menyebabkan mere­ka mengalami kecederaan parah,” kata sumber.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hos­pital Umum Sarawak (HUS) oleh anggota paramedik dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Bagaimanapun, mangsa (suami) disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya, manakala isteri mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan,” kata sumber.

Mayat mangsa telah di­hantar ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk pengebumian.

Sementara itu, pemandu lori tersebut yang berusia sekitar 50-an dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Utusan Borneo 29 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment