April 17, 2014

Tiga-tiga mabuk

Jempol: Seorang pengawal keselamatan koma selepas dipukul dua lelaki dalam kejadian awal pagi semalam.

Kejadian jam 2 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 50-an sedang bertugas di sebuah bangunan milik syarikat swasta yang belum beroperasi di pekan Bahau, di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, dua lelaki berusia 26 dan 32 tahun tiba-tiba memukul mangsa dengan topi keledar dan kerusi.

Katanya, selepas memukul mangsa, kedua-dua suspek tidak melarikan diri sebaliknya duduk di tempat kejadian bersama mangsa.

“Anggota polis dari Balai Polis Bahau yang membuat rondaan kira-kira jam 6 pagi melihat mangsa terbaring berlumuran darah.

Manakala dua lelaki duduk berhampiran mangsa,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan menembak sempena hari polis ke-207 di Lapang Sasar Ladang Gaddes, dekat sini, semalam.

Hamzah berkata, suspek kemudian ditahan dan mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan kedua-dua suspek dalam keadaan mabuk.

Namun, motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan suspek kini direman tujuh hari sehingga 23 April ini,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, seramai 60 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan menembak yang turut disertai Senator Datuk Mohd Salim Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali.

“Pengamal media, ketua jabatan dan agensi berkaitan diberi peluang menyertai pertandingan itu,” katanya.

myMetro 17 Apr 2014


Akibat tolak ajakan rakan

JEMPOL - Gara-gara tolak ajakan dua rakannya keluar minum minuman keras di Pekan Baru, seorang pengawal keselamatan cedera parah di kepala apabila kepalanya dihentak dengan topi keledar, dalam kejadian awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa berumur 50-an didatangi dua rakannya berumur 32 dan 26 tahun di lokasi dia bertugas.

“Dipercayai mangsa diajak minum arak bersama, namun dia enggan berbuat demikian kerana masih bekerja sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan juga suspek.

"Bagaimanapun, ia bertukar tragedi apabila kepala mangsa cedera parah dan pengsan berikutan dihentak dengan topi keledar milik suspek. Mangsa dikejarkan ke Hospital Jempol dan menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban kini berada dalam keadaan kritikal,” katanya kepada pemberita selepas Program Menembak sempena Hari Polis ke-207, peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol di Ladang sasar dekat Ladang Geddes, semalam.

Hamzah berkata, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 6 pagi di lokasi kejadian dan direman sehingga 23 April depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Difahamkan, insiden tersebut diketahui selepas anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah menemui mangsa berlumuran darah terbaring bersama suspek.

Sinar Harian 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment