April 17, 2014

Tubuh dititis lilin

Kajang: Selain dirotan, belakang tubuhnya turut dititis dengan lilin panas. Itulah penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun selepas didera teman lelaki ibunya berusia lewat 30-an di sebuah rumah di sini, sejak setahun lalu.

Sumber polis berkata, ibu mangsa berusia 36 tahun sudah bercerai dengan suaminya sejak empat tahun lalu dan mula tinggal dengan teman lelakinya itu selepas perceraian berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu hanya terbongkar pada jam 11 pagi kelmarin, apabila kanak-kanak terbabit dibawa guru sekolahnya ke Hospital Kajang (HK) bagi mendapatkan rawatan selepas mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di muka, dua kaki dan belakang badan.

Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan terdapat unsur penderaan berdasarkan kecederaan dialami mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang berhubung kejadian itu.

“Guru berusia lewat 30-an sebelum ini membawa mangsa ke HK selepas mangsa mengadu dan mendakwa dipukul teman lelaki ibunya.

“Kanak-kanak terbabit pada mulanya merahsiakan kejadian ini namun hanya menceritakan apa yang berlaku selepas didesak berulang kali,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa mendakwa kerap dipukul dan dirotan saban hari oleh teman lelaki ibunya.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa memberitahu suspek gemar menitiskan lilin panas di belakang badannya hampir setiap hari dengan alasan mangsa nakal, gemar menipu dan enggan membuat kerja sekolah.

“Tindakan kejam itu menyebabkan tubuh mangsa dipenuhi kesan lebam akibat dipukul dengan objek tumpul selain melecur kesan cecair lilin panas itu,” katanya.

Selain itu menurutnya, kedua-dua kaki serta muka kanak-kanak itu turut terdapat kesan lebam baru dan lama dipercayai kesan dipukul.

“Kanak-kanak itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak HK bagi menjalani rawatan susulan sebelum doktor yang memeriksa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang,” katanya.

Sumber itu turut memberitahu, mangsa pernah dirujukkan ke dua klinik swasta beberapa bulan lalu akibat kecederaan dialami.

“Bagaimanapun teman lelaki dan ibu mangsa merahsiakan kejadian sebenar dengan mendakwa mangsa terjatuh dan terkena api hingga menyebabkan kecederaan.

“Polis sudah pergi ke rumah mangsa namun ibu mangsa dan teman lelakinya terlebih dulu melarikan diri.

myMetro 17Apr 2014

0 comments:

Post a Comment