April 24, 2014

Pembahagi jalan ragut nyawa

Penduduk dan ahli keluarga mangsa kemalangan meletakkan jambangan bunga di kawasan pembahagi jalan yang meragut nyawa Yi Hao, Ahad lalu.

BUKIT MERTAJAM - Satu bantahan aman yang disertai lebih 100 penduduk berlangsung berhampiran Jalan Song Ban Kheng semalam bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berkenaan projek naik taraf jalan raya di kawasan terbabit.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa kemalangan maut, Chiam Yi Hao, 20, turut menyertai bantahan berkenaan yang berlangsung hampir sejam bagi memprotes kerja naik taraf yang didakwa dijalankan tanpa memikirkan keselamatan umum.

Bapa saudara mangsa, Chiam Teik Soon, 40-an, berkata, projek naik taraf jalan raya itu mengambil masa terlalu lama malah bakal mengundang lebih banyak kemalangan.

Menurutnya, ketiadaan papan tanda amaran yang sepatutnya diletakkan bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya di sini menyebabkan kejadian seumpama ini berlaku dan pasti akan berlaku lagi jika tidak ditangani dengan segera.

“Keadaan jalan yang sangat gelap pada waktu malam menyebabkan kawasan ini lebih berisiko dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Situasi ini dapat dilihat terhadap anak saudara saya yang maut dihentam sebuah kereta yang tidak menyedari kereta di hadapannya lalu menyebabkan mendiang hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan yang baru dibuat hingga menyebabkannya tercampak keluar dari kereta,” katanya.

Ahad lalu, Yi Hao meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya melanggar pembahagi jalan yang baru sehari disiapkan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa, Alma sebelum melanggar pembahagi jalan terbabit.

Penduduk, Ong Chuan Jin, 50, berkata, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera untuk memastikan tidak ada lagi mangsa akan terkorban.

“Projek naik taraf ini dilaksanakan sebelum pilihan raya lagi namun masih belum siap sehingga kini.

“Ketiadaan papan tanda menyukarkan keadaan dan akan meningkatkan lagi risiko kemalangan," katanya.

Sinar Harian 23 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment