April 24, 2014

Peluru melantun kena loket

KEADAAN mangsa yang dirawat di HQE II Kota Kinabalu. Gambar kecil, kenderaan forensik di luar lokasi selepas kejadian.

Kota Kinabalu: Loket emas dipakai seorang konstabel polis menyelamatkan tubuhnya daripada ditembusi peluru akibat tembakan sepucuk pistol yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakan setugas ketika mengosongkan senjata berkenaan di Balai Polis Luyang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam, Richie Belo Asing, 25, bernasib baik apabila peluru yang menuju tepat ke dadanya mengenai loket emas dipakainya lalu melantun ke arah lain.

Difahamkan, lantunan peluru berkenaan kemudian mengenai rusuk kiri mangsa dan terselamat daripada maut.

Sumber berkata, ketika kejadian, rakan mangsa, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 35 tahun mengosongkan pistol jenis Revolver .38 untuk memulakan tugas bersama mangsa di Pondok Polis Hospital Queen Elizabeth (HQE) II, namun secara tidak sengaja senjata api itu meletup.

Menurutnya, beberapa anggota polis yang terkejut mendengar bunyi letupan di bahagian senjata belakang balai berkenaan, kemudian meninjau lalu melihat mangsa rebah.

myMetro 24 Apr 2014


Anggota polis tertembak rakan setugas

KOTA KINABALU 23 April - Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah di dada selepas dipercayai terkena tembakan senjata yang sedang dibersihkan oleh rakan setugasnya di Balai Polis Luyang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.12 malam itu, mangsa, Richie Belo Asing, 25, yang kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, mangsa bersama rakannya itu sedang bersiap untuk melaporkan diri bertugas di Pondok Polis Kawasan (PPK) HQ II dan semasa rakannya itu sedang mengosongkan pistol, secara tiba-tiba terlepas tembakan dan mengenainya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata, dua anggota berkenaan mengambil pistol jenis Revolver .38 dari dalam stor balai berkenaan untuk memulakan tugas di PPK itu.

"Mangsa yang berasal dari Sarawak kini dilaporkan stabil dan hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati peluru itu tidak mengenai organ sensitif. Pembedahan akan segera dilakukan bagi mengeluarkan peluru yang masih berada dalam badan mangsa," katanya di sini hari ini.

Tambah Jauteh, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Rakan setugas mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.

Utusan 24 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment