April 20, 2014

Mayat lelaki berbungkus kain putih ditemui dalam sawah

ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui dalam petak sawah di Kampung Tuba, Mukim Bukit Lada, Pokok Sena, Kedah semalam.

POKOK SENA -  Seorang pemilik sawah terkejut apabila kepala terapung yang disangkanya lotong ialah mayat manusia.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Saari Ariffin, 68, dikatakan ke sawahnya di Kampung Tuba, Mukim Bukit Lada dekat sini untuk melihat air  bagi kerja membajak dan menanam tidak lama lagi.

“Bagaimanapun ketika sampai di hujung sawah, saya berbau sesuatu dan mendapati ada tompokan minyak sekitarnya.

"Saya meninjau lebih dekat dan ternampak kepala terapung. Saya mengoreknya dengan cangkul dan mendapati ia adalah mayat manusia," katanya.

Menurut Saari, mayat itu seperti sudah hampir reput dan telah dikafan dengan kain putih.

Katanya, tangan mayat itu terikat di belakang selain rambutnya juga sudah gugur.

"Oleh kerana tiada sesiapa pada masa itu, saya berlari ke rumah dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pokok Sena,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Saari berkata, dia percaya mayat itu sudah mati beberapa hari dan ditanam di dalam lubang tayar mesin padi. Apabila hujan akhir akhir ini, mayat itu mungkin telah timbul lalu terapung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.

“Siasatan mendapati, mayat dalam keadaan tertiarap dan berbalut seperti kafan dengan kain berwarna putih di dalam sawah itu.

"Mayat dipercayai adalah lelaki dibuang di situ dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan kecederaan serta rambutnya telah gugur.

“Identitinya belum dikenal pasti dan muka mayat pula sudah mereput serta hitam dipercayai telah mati lebih daripada lima hari.

Sehingga ini, pihak polis sedang menunggu laporan perubatan sama ada mangsa mati mengejut atau dibunuh,” katanya.

Sinar Harian 21 Apr 2014


Pesawah Temui Mayat 'Berkafan' Di Bendang

ALOR SETAR: Seorang pesawah yang mahu membersihkan bendangnya di Kampung Tuba, Pokok Sena dekat sini pada Ahad, terkejut apabila objek yang ditarik keluar dari petak sawah menggunakan cangkul merupakan mayat seorang lelaki.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Saari Ariffin, 68, berkata dia ternampak satu objek yang seakan-akan kepala manusia ketika mahu membersihkan petak sawah tersebut.

"Saya menggunakan cangkul untuk menariknya keluar dan alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati objek itu ialah mayat yang seolah-olah sudah dikafankan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Saari berkata dia sudah dua bulan tidak ke sawah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan penemuan berkata mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditanam di dalam lubang sedalam 0.6 meter.

Polis percaya mayat tersebut dibuang di situ sejak seminggu lalu berdasarkan pemeriksaan awal yang mendapati mayat sudah mereput 60 peratus, katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat.

mStar 21 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment