April 20, 2014

Pesara tentera parah ditikam anak sendiri di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa cedera parah setelah ditikam oleh anaknya sendiri selepas satu pertengkaran di hadapan rumahnya di Kampung Lembah Harapan Seberang Takir di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 55 tahun itu menegur anak lelaki yang bertengkar dengan tunangnya di hadapan rumah pada 9.30 malam.

Katanya berang dengan teguran itu, anaknya yang berusia 22 tahun bertindak memarahi bapanya dan melarang dia masuk campur dalam urusan mereka.

"Mangsa kemudiannya turun ke kawasan halaman rumah untuk menasihati anaknya namun tercetus pergelutan dan pergaduhan antara bapa dan anak.

"Berang dengan tindakan bapanya, anaknya bertindak menyerang dan menikam belakang badan mangsa dipercayai menggunakan pisau sebelum dikejarkan ke Hospital oleh ahli keluarga yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya mangsa yang merupakan seorang pesara Tentera itu parah di bahagian belakang sehingga ke paru-paru selain tulang rusuknya patah akibat tikaman itu.

Manoharan berkata mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan kini dilaporkan stabil. - Bernama

20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment