April 23, 2014

Gadis derita jangkitan kuman rayu bantuan

Normadiah Sabran, melakukan proses mencuci buah pinggang anaknya menggunakan cecair khas yang dibekalkan pihak hospital.

KLUANG - Hasrat seorang gadis untuk memperoleh segulung diploma tidak kesampaian apabila dia disahkan menghidap penyakit jangkitan kuman sehingga menyebabkan kedua-dua buah pinggangnya rosak.

Nur Amiza Mohamad, 20, yang menuntut di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) terpaksa melupakan pengajiannya sejak dua tahun lalu, kerana penyakit berkenaan.

Anak bongsu enam beradik itu memberitahu, dia hanya menghabiskan masa di rumah selain menjalani rawatan mencuci buah pinggang empat kali sehari tanpa ke hospital.

Menurutnya, jangkitan kuman yang dialami sejak berusia 15 tahun kembali aktif  dua tahun lalu, merebak ke bahagian buah pinggang.

“Di rumah, saya hanya mampu duduk malah kerja mencuci buah pinggang dilakukan emak kerana segala peralatan dibekalkan pihak Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom.

Bagaimanapun, kami perlu membayar RM100 sebulan bagi menggunakan mesin berkenaan,” katanya.

Dia berkata demikian di rumahnya di Jalan Bara Api, Taman Perumahan Rakyat Jalan Lambak, di sini, kelmarin.

Nur Amiza berkata, keluarganya hanya bergantung harap kepada seorang abangnya yang masih belum berkahwin, tetapi pendapatannya masih tidak mampu menampung  mereka sekeluarga.

“Kami tidak sanggup menyusahkannya kerana pendapatan abang yang bekerja di bengkel kereta tidak seberapa, manakala abang yang lain sudah berkeluarga dan ada tanggungan sendiri.

“Ayah saya pula hanya bekerja mengambil upah memotong rumput dan menolong orang bertukang yang gajinya tidak seberapa,” katanya.

Nur Amiza merayu agar ada mana-mana pihak tampil membantu keluarganya kerana penyakit dihidapinya memerlukan kos yang tinggi  untuk rawatan.

Sinar Harian 23 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment