April 23, 2014

Leher ditebuk untuk bernafas

Dunia Pertiwi kini tertumpu untuk menjaga anak istimewanya, Muhammad Aqiel Asyraaf.

KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak dari Taman Sri Saujana, di sini, terpaksa  bernafas melalui lehernya yang ditebuk kerana mengalami masalah saluran pernafasan sempit dan penyakit  paru-paru kronik sejak lahir.

Ibunya, Pertiwi Masiran, 42, berkata, anak bongsunya, Muhammad Aqiel Asyraaf Zamri, 3, yang mesra dipanggil Asyraaf kini bergantung hidup  dengan bekalan oksigen  daripada tangki khas selain makan dan minum  menggunakan tiub melalui hidung.

Menurutnya, meskipun aktif, kesihatan anaknya amat sensitif terutama apabila berdepan dengan keadaan udara di luar rumah yang berasap akibat jerebu, pembakaran dan sebagainya.

Jelasnya, jika silap langkah, wajah Asyraaf akan bertukar biru gara-gara tidak dapat bernafas dan baru-baru ini, dia juga terpaksa tinggal di  wad ketika musim kebakaran lalang berlaku kerana tidak  dapat bernafas dengan baik.

Tambahnya, setiap minggu dia dan suami akan menghantar Asyraaf mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan  adakala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk  berjumpa dengan doktor pakar.

“Setiap kali ke sana kami juga terpaksa mengangkut tiga tangki oksigen yang salah satunya dipinjam daripada hospital, manakala dua lagi sumbangan wakil rakyat dan satu lagi kami beli sendiri. Kami terpaksa meminjam tangki daripada hospital kerana tidak mampu untuk membelinya kerana kos yang mahal.

“Inilah dunia kami sekeluarga sekarang, hanya di dalam rumah sahaja malah sudah tiga tahun kami tidak pulang beraya ke kampung kerana khuatir dengan keadaan kesihatan Asyraaf,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya, di sini, semalam.

Ibu empat cahaya mata itu berkata, selepas dilahirkan, doktor mengesahkan anaknya mengalami masalah jantung sekaligus memerlukan  pembedahan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, hampir setahun anaknya dirawat dan tinggal di wad hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya yang terletak di SS7, dekat sini.

“Suami yang bekerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya hanya berpendapatan RM1,300 sahaja. Anak pertama kini sedang menuntut di universiti, anak kedua pula sedang menunggu panggilan untuk sambung belajar manakala seorang lagi bersekolah Tadika.

“Kos ubatan untuk Asyraaf sahaja sudah mencecah RM1,200 sebulan dan bagi mencukupkan perbelanjaan membeli ubatnya, kami terpaksa menangguhkan bayaran ansuran rumah. Sebelum melahirkan Asyraaf, saya bekerja di kilang untuk membantu menampung pendapatan suami membayar rumah dan sebagainya, namun kini kami terpaksa membuat kira-kira sendiri,” katanya.

Justeru, Pertiwi amat berharap agar permohonannya untuk mendapatkan bantuan bulanan agensi kebajikan diluluskan.

Katanya, agensi yang terlibat telah datang ke rumahnya pada awal tahun lalu, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas yang diterima.

“Saya amat berharap jika tidak dapat bantuan wang, kami diberi bantuan peralatan perubatan anak kerana dalam sebulan Asyraaf juga memerlukan kira-kira 200 tiub penyedut untuk menyedut kahaknya agar dia boleh bernafas dengan baik,” katanya.

Orang ramai yang hendak memberikan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank Pertiwi Masiran, 151071462688.

Sinar Harian 23 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment