April 23, 2014

3 cedera amukan 2 anjing

SEORANG daripada mangsa digigit anjing, Hoosni Anuar Hamid, 44, cedera pada muka dan tubuh. FOTO Raja Noraina Raja Rahim

PEGAWAI Veterinar mengambil otak anjing untuk dibuat uji kaji. Gambar kecil, anggota forensik turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Seremban: “Saya cuba melawan tapi anjing itu semakin ganas apabila menggigit kepala saya hingga kulit kepala tertanggal,” kata Rukimah Juandi, 51, yang parah diserang dua anjing baka ‘American Bulldog’ semalam.

Kejadian berlaku ketika pembantu rumah warga Indonesia itu sedang membasuh lantai rumah majikannya di Kampung Masjid Lenggeng, di sini, jam 7.50 pagi.

Turut diserang haiwan sama peniaga nasi lemak, Hoosni Anuar Hamid, 44, yang cedera di muka dan badan, manakala anggota polis Lans Koperal Mohd Naser Sulaiman cedera di kaki ketika cuba membantu Hoosni.

Untuk menyelamatkan diri selepas turut diserang, Mohd Naser terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan kedua-dua anjing itu mati.

Menceritakan kejadian itu, Rukimah berkata, sejurus tiba di rumah majikan selepas membeli nasi lemak, dia melihat ada tahi anjing di atas lantai lalu mencucinya.

myMetro 24 Apr 2014


Parah diserang anjing lapar

Pembantu rumah warga Indonesia cedera parah akibat diserang dua ekor anjing di Kampung Masjid Lenggeng, semalam.

SEREMBAN – Dipercayai kerana lapar, dua ekor anjing peliharaan menyerang seorang wanita di Kampung Masjid, Lenggeng, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, turut mencederakan dua lelaki termasuk seorang anggota polis yang membantu menyelamatkan mangsa.

Difahamkan, anjing peliharaan berkenaan dipercayai kelaparan berikutan pemilik haiwan berkenaan jarang memberinya makan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa merupakan pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Ruhimah, 51, dalam perjalanan pulang selepas membeli sarapan pagi, cedera parah di bahagian kulit kepala serta patah tangan kanan.

"Kejadian berlaku di luar rumah apabila secara tiba-tiba datang dua ekor anjing meluru ke arah mangsa yang baru pulang membeli sarapan, sebelum dia cuba diselamatkan seorang peniaga nasi lemak yang ketika itu mendengar jeritan mangsa meminta tolong, namun kedua-dua mereka juga turut diserang.

"Kemudian seorang anggota polis sokongan yang kebetulan melalui tempat kejadian turut digigit di pergelangan kakinya, sebelum lelaki itu melepaskan empat das tembakan mengenai kedua-dua anjing itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dan penjual nasi lemak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk menerima rawatan susulan.

Menurutnya, Jabatan Veterinar kemudian dihubungi sebelum unit forensik selesai menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Kes disiasat di mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000,” katanya.

Sinar Harian 24 Apr 2014


Pemilik anjing ditahan reman

Seremban: Pemilik dua ekor anjing yang menyerang tiga individu di Kampung Masjid, Lenggeng, dekat sini, ditahan reman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memberitahu pihaknya sedang menyoal siasat lelaki berusia 53 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu bekerja sebagai pekebun dan membela banyak anjing, tetapi jarang berada di rumahnya.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 289, Kanun Keseksaan iaitu kecuaian berkaitan haiwan yang dibela hingga mendatangkan bahaya atau kecederaan kepada orang lain.

“Hasil pemeriksaan di kandang haiwan itu mendapati, ia tidak kukuh dan dipercayai menyerang mangsa kerana tiada makanan,” katanya.

Katanya, jika disabit boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi kelmarin, seorang pembantu rumah, Rukimah Juandi, 51, parah apabila diserang dua anjing yang dibela untuk mengawal sebuah ladang cili.

Haiwan sama turut menyerang penjual nasi lemak, Hoosni Anuar Hamid, 44, hingga cedera di muka serta anggota polis Lans Koperal Mohd Naser Sulaiman yang cedera di kaki.

Susulan serangan itu, Mohd Naser yang digigit terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan kedua-dua anjing terbabit mati.

Sementara itu, siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri mendapati, dua anjing terbabit tidak berlesen.

Pengarahnya, Dr Azman Shah Abd Manap berkata, pihaknya mendapati pemilik anjing terbabit yang menetap di Selangor itu tidak pernah memohon lesen daripada JPV.

Lesen berkenaan, katanya, perlu dipohon melalui JPV mengikut Akta Binatang 1956 bagi kawalan penyakit kerana Majlis Perbandaran Nilai (MPN) tidak mempunyai undang-undang kecil berkaitan pelesenan anjing.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua anjing terbabit yang dipercayai berusia tiga tahun tidak pernah dibawa untuk pemeriksaan penyakit di JPV sebelum ini,” katanya.

myMetro 25 Apr 2014


Pemilik anjing mengaku cuai

SEREMBAN: Seorang pemilik anjing yang cuai terhadap penjagaan haiwan itu hingga menyerang tiga orang termasuk pembantu rumah warga Indonesia dan menyebabkan kulit kepalanya tercabut di Kampung Masjid, Lenggeng dekat sini, dituduh di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Lam Soon Seng, 51, dari Taman Indah Cheras,Kuala Lumpur mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan cuai meninggalkan dua anjing terbabit sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa iaitu pembantu rumah, Rukimah Juwandi, 51, peniaga, Hoosni Anuar Hamid, 44, dan Lans Koperal Mohd Nasir Sulaiman di Kampung Masjid, Lenggeng, pada 23 April lalu kira-kira jam 7 pagi.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan 20 Mei ini untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin.

myMetro 30 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment