April 20, 2014

Cucu dipaksa gigit kasut sekolah

BERA - Seorang penjaga terpaksa membuat laporan polis berikutan insiden cucunya dipaksa menggigit kasut sekolah pada waktu persekolahan selepas gagal mencapai penyelesaian damai dengan pihak sekolah.

Chua Teck Fatt, 54 berkata, cucunya yang baru berusia tujuh  tahun bersama lebih 25 pelajar lain dalam kelas itu di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan cina (SJKC) di daerah ini diminta berbuat demikian oleh seorang guru semasa kelas tambahan.

Menurutnya, tidak sewajarnya seorang guru bertindak sedemikian kepada pelajar terutama kepada mereka yang baharu tahun 1.

“Saya tidak pasti sama ada ibu bapa pelajar lain setuju dengan tindakan itu atau tidak, tetapi bagai pihak saya, tindakan itu satu penghinaan kepada pelajar.

“Walaupun pelajar itu bersalah, mereka tidak sepatutnya diminta menggigit kasut sekolah sendiri yang sedia kotor,” katanya.

Teck Fatt memberitahu, insiden itu berlaku pada 15 April lalu tetapi hanya mengetahuinya pada 16 April melalui ibu bapa pelajar lain.

Katanya, dia terpaksa menghantar surat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memaklumkan perkara itu bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Suprintendan Zakaria Yusof mengesahkan menerima laporan daripada pengadu yang dibuat di Balai Polis Kemayan, kira-kira jam 4.38 petang semalam.

Dalam perkembangan lain, Zakaria memberitahu, tiga pelajar perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah dekat tanah rancangan Felda dekat sini dicabul seorang guru lelaki semasa sesi pembelajaran.

“Kejadian berlaku pada 16 April lalu dan ibu bapa pelajar terbabit membuat laporan pada semalam (kelmarin) mengenai perkara itu.

“Berdasarkan siasatan awal, guru yang berusia 49 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan dengan meraba payudara dan kemaluan ketiga-tiga pelajar itu semasa mencubit mereka sebagai denda,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seskyen 354 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment