April 20, 2014

Guru terlibat kes cabul ditukar

BANDAR BERA - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memandang serius kes cabul membabitkan seorang guru lelaki berusia 49 tahun dengan tiga pelajar yang berusia 12 tahun di sebuah sekolah di tanah rancangan Felda, dekat sini.

Pegawai PPD, Baharum Samat berkata, guru terbabit dikenakan tindakan pentadbiran dan mulai Selasa depan, dia akan bertugas di tempat lain bagi memastikan emosi pelajar tersebut terjamin.

Menurutnya, sejak kejadian itu, pihaknya mengarahkan guru itu bertugas di PPD sebagai langkah keselamatan selain menjaga emosi pelajar agar tidak takut ke sekolah dan kita serius dalam menangani perkara seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bagi kes penjaga yang mendakwa cucunya dipaksa menggigit kasut oleh guru semasa sesi pembelajaran pula, beliau memberitahu perkara itu diselesaikan melalui permuafakatan semua pihak iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa serta penjaga.

Bagaimanapun, katanya, hanya seorang penjaga yang tidak berpuas hati sehingga membuat laporan polis meminta perkara ini diselesaikan dengan cara lain.

“Sebenarnya kita sudah siasat perkara ini. Memang benar ada pelajar yang gigit kasut ada ketika itu tetapi bukan atas arahan guru.

“Namun, dalam rundingan permuafakatan itu, guru berkenaan sudah melakukan permohonan secara terbuka walaupun tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut,” kata beliau.

Baharum berkata, selepas ini, perkara itu akan terus diperbincangkan dan diselesaikan PIBG dan sekolah terbabit.

Sinar Harian 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment