January 29, 2014

`Hadiah istimewa’ di muka pintu

BAYI lelaki berusia 13 hari yang ditinggalkan di depan rumah pasangan suami isteri di Nilam Puri, pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca

BAYI lelaki yang ditinggalkan di depan pintu rumah pasangan tiada anak berada dalam keadaan sihat. FOTO Shahuri Awang

Kota Bharu: Sepasang suami isteri yang sudah empat tahun berusaha untuk mendapatkan anak mendapat hadiah istimewa di muka pintunya apabila seorang bayi lelaki ditinggalkan bersama sekeping nota dan kelengkapan asasnya di Jalan Pasir Mas Salor, Nilam Puri, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi, pasangan suami isteri itu mendengar bunyi tangisan sebelum membuka pintu dan menemui bayi yang dibaluti selimut dan ditutup dengan kelambu.

Turut ditemui, satu beg berisi pakaian bayi, satu plastik lampin pakai buang, satu kotak susu, peralatan bayi dan sekeping nota.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pasangan suami isteri itu segera menghubungi polis memaklumkan penemuan bayi terbabit.

"Bayi itu ditemui dalam keadaan sihat, tetapi kesejukan. Nota bertaip yang ditemui dipercayai ditinggalkan ibunya.

"Berdasarkan nota berkenaan, bayi itu dilahirkan pada 16 Januari selain meminta bayi itu diberi susu setiap tiga jam," katanya.

Menurutnya, bayi itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

myMetro 29 Jan 2014


Rengekan bayi disangka kucing

Tangga tempat bayi terbabit ditinggalkan. Gambar kecil, bayi lelaki yang ditemui, semalam. - Foto Sinar Harian

KOTA BHARU - Bunyi rengekan dari luar rumah yang disangka kucing, mengejutkan pasangan suami isteri di Kampung Jerulong, Salor di sini apabila menemui seorang bayi lelaki berusia 14 hari dalam kesejukan ditinggalkan berhampiran tangga rumah mereka di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, Nora Syettah Mohd Zaini, 40, dan suaminya, Ali Mamat, terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi tersebut.

Disebabkan khuatir, mereka segera membuka pintu rumah dan melihat bayi lelaki lengkap berselimut, ditutup dengan kelambu ditinggalkan di atas tangga rumah bersama beg pakaian serta peralatan bayi yang lengkap.

Saksi kejadian, yang juga kakak Nora Syettah, Norazidah, 50, berkata, selepas melihat bayi terbabit, adiknya terus mengetuk pintu rumahnya dan meminta dia melaporkan kepada pihak polis.

“Saya turut melihat bayi tersebut, memandangkan rumah saya dan dia (Nora Syettah) jaraknya hanya 20 meter.

"Bayi sihat namun masih menangis kerana kesejukan. Adik saya segera membancuh susu formula yang turut ditinggal bersama botol susu dalam beg di samping bayi tersebut, sebelum polis tiba kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, bayi terbabit dijumpai bersama sebuah beg berisi pakaian, satu plastik lampin pakai buang, satu kotak susu dan sekeping nota bertaip atas kertas putih, dipercayai daripada ibu bayi berkenaan yang berbangsa Melayu.

Menurutnya, dalam nota itu menyatakan bayi berkenaan dilahirkan pada 16 Januari lalu dan telah diberi suntikan BCG dan Hepititis B di sebuah klinik swasta.

“Turut ditulis, bayi tersebut perlu diberikan susu setiap tiga jam sehingga mencapai berat dua kilogram.

"Bayi itu  dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut, sebelum dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut," katanya.

Azham berkata, pihaknya masih menyiasat dan mengenal pasti ibu bayi terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Sinar Harian 30 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment