January 29, 2014

Meninggal dunia ketika potong rumput


MARUDI: Seorang pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah sekolah rendah di sini ditemui terbaring dalam keadaan sudah tidak bernyawa di sebatang jalan raya menuju ke Pangkalan Feri Batang Baram, berdekatan Kampung Ridang, petang kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Martinus Balan, 31, dan berbangsa Kenyah, berasal dari Apun Gun di Tinjar, ditemui oleh isterinya yang baharu balik daripada mencari sayur midin untuk dijual di pasar.

Isterinya yang tidak menjangka mangsa sudah meninggal dunia ketika dilihat terbaring, memaklumkan perkara itu kepada rakannya dan setelah menghampiri serta memeriksa mangsa, mereka mendapati mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang melakukan kerja sampingannya iaitu memotong rumput.

Mangsa yang merupakan penghidap asma dan dari keluarga miskin, bekerja sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam, manakala pada waktu siang mangsa bekerja sebagai pemotong rumput dan mengambil upah daripada mereka yang memerlukan khidmatnya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Marudi menggunakan kenderaan polis pada jam 5 petang, selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Utusan Borneo difahamkan, mangsa dan keluarganya merupakan mangsa banjir yang pertama dipindahkan ke Dewan Suarah Marudi pada Disember tahun lalu.

Mangsa meninggalkan isteri dan tiga orang anak perempuan yang masih kecil dan anak bongsunya baharu berusia setahun lebih.

Utusan Borneo 29 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment