January 29, 2014

Empat kenderaan bertembung

Keadaan kereta Hyundai Atos yang remuk selepas merempuh Mercedes yang terbabas ke laluan bertentangan.

JOHOR BAHRU -  Satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan telah berlaku di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi menghala ke arah Johor Bahru, berdekatan stesen minyak Taman Johor Jaya lebih kurang jam 7.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Roslan Zainuddin berkata, kemalangan tersebut membabitkan empat buah kenderaan kereta jenis Mercedes, Hyundai Atos dan Perodua Kancil serta sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Mercedes dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Tinggi telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan lalu terbakar.

“Kereta Mercedes yang terbabas telah dilanggar oleh dua buah kereta dan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta Mercedes dan Hyundai Atos yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, penutupan jalan di lokasi kejadian telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga semua kenderaan dilencongkan melalui jalan stesen minyak tersebut untuk laluan ke Johor Bahru.

“Jalan terbabit terpaksa ditutup lebih kurang 45 minit dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 29 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment