July 22, 2013

Empat kanak-kanak termasuk dua beradik mati lemas cari kepah


Mayat kesemua mangsa ditemui kira-kira 6 petang semalam.


Ibu bapa Athafi s, Junaida Mokhtar, 36, dan Amin Mohd Ripin, 42, tidak dapat menahan sebak melihat mayat anaknya di tempat kejadian.


Keluarga mangsa sabar menunggu anggota bomba melakukan kerja mencari dan menyelamat.


Anggota bomba sedang melakukan kerja mencari dan menyelamat.

REAKSI pasangan, Norhaslinda Talib, 28, dan suaminya, Fadzli Ismail,30, selepas kematian kedua-dua anak, Hanis Balkis Fadzli, 7, dan Mohamad Nazimi Fadzli, 9, yang lemas dalam kejadian di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di Melaka, semalam.

MELAKA -  Empat rakan ditemui mati lemas ketika bermain di tebing Sungai Melaka, berhampiran Taman Seri Krubong, Krubong di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa dipercayai tergelincir, lalu terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan adik beradik, Hanis Balkis Fadzli, 7, dan Mohd Hazimi Fadzli, 9, serta dua rakan mereka, Athafis Amin, 10, dan Radziatul Nadia Rosman, 12.

Difahamkan, ketika kejadian, mereka bersama empat lagi rakan kanak-kanak lain iaitu Huzaimi Abdul Rahim, 11, serta adiknya Sarah Abd Rahim, 9, Atamizi Amin, 8, dan Hanis Humaira Fadzli, 6, dikatakan bermain di tebing sungai berkenaan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang daripada kanak-kanak itu dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan yang agak dalam menyebabkan mereka dipercayai saling membantu untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh sebelum semuanya lemas.

Beberapa orang awam menyedari kejadian itu dan terjun untuk membawa keluar dua mangsa dipercayai pasangan adik beradik berkenaan yang bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia pada jam 5.47 petang.

Ia diikuti dua mangsa lain yang ditemui pasukan bomba masing-masing pada jam 6.01 petang dan 6.04 petang. Semua mayat kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamarulzaman Mohd Din berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat sebaik saja menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, seramai sebelas anggota unit penyelam dari Balai Bomba Jalan Kubu turut dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu.

“Bomba menerima panggilan pada pukul 4.58 petang.  Mayat Hazimi ditemui penduduk kira-kira 5.50 petang. Seminit kemudian adiknya, Hanis Balqis ditemui.

Mimpi jatuh ke dalam lubang gelap

"Sementara dua lagi, Athafis dan Radziatul ditemui anggota bomba masing-masing pada jam 6.01 dan 6.02 petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, datuk kepada Hazimi dan Hanis Balqis, Ismail Hamid, 64, berkata, dia terkilan kerana kedua-dua cucunya pergi serentak di sungai berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Taman Seri Krubong Fasa 2, dekat sini. Dia juga tidak menyangka mimpi jatuh ke dalam lubang gelap beberapa hari lalu merupakan petanda bahawa dia akan kehilangan dua cucu serentak.

"Memang saya sedih dan sayu, mengenangkan cucu yang manja dengan saya terutama Hanis Balkis kini sudah tiada lagi.

"Saya sudah terasa sesuatu yang tidak kena apabila malam tadi Hanis Balkis datang dan tidur berbantal lengan saya kerana sebelum ini dia tidak pernah semanja itu.

"Berbanding dengan Mohamad Nazimi, malam semalam dia langsung tidak mahu masuk ke rumah saya walaupun telah beberapa kali dipanggil kerana sebelum ini dia tidak pernah bersikap sedemikian," katanya.

Menurut Ismail, kedua-dua cucunya itu memang gemar bermain di sekitar sungai tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka walaupun telah beberapa kali diberi nasihat.

Jiran maklum anak lemas

Ibu Radziatul, Norizan Zainal, 40, pula terkejut apabila mendengar kejadian tersebut daripada rakan anaknya yang tinggal berhadapan rumahnya.

Dia berkata anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah bersama beberapa rakannya yang juga jiran mereka.

“Saya yang baru membeli juadah berbuka puasa tidak menyangka apa-apa kerana dia (anak) kebiasaannya hanya bermain di taman permainan di sekitar kawasan ini.

“Namun, hati ini tersentak apabila jiran memaklumkan anak perempuan saya lemas di sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi. Turut berada di tempat kejadian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Sazali Md Din.

Norizan berkata, beliau hanya mampu reda namun sedikit terkilan kerana tidak sempat membelikan jubah raya untuk anaknya yang sepatutnya dibeli hari ini.

“Saya tidak melihat sebarang perubahan ketara yang lain kecuali dia kerap mengerjakan solat Tarawih dan berkurung dalam bilik sejak kebelakangan ini,” katanya.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheng, di sini, malam tadi.

Sumber Sinar Harian, myMetro, Utusan dan Berita Harian 22 Jul 2013


Ibu tidak sangka jubah raya permintaan terakhir anak bongsu

ATHIRAH Amin meratapi mayat adiknya Athafiz Amin, 10, yang mati lemas dalam kejadian di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL

MELAKA 21 Julai - Seorang ibu tidak menyangka permintaan anak perempuannya berusia 12 tahun yang tidak sabar-sabar untuk membeli jubah sebagai baju raya adalah permintaan terakhirnya sebelum kanak-kanak itu mati lemas bersama tiga rakannya di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di sini petang ini.

Norizan Zainal, 40, berkata, malah anak bongsu daripada empat beradik itu, Radziatul Nadia Rosnan sanggup tidak mahu ke sekolah esok, semata-mata untuk pergi bersamanya membeli jubah.

"Bagaimanapun saya memujuknya untuk ke sekolah dan berjanji akan membeli jubah sebaik sahaja tamat waktu persekolahan. Tetapi tidak sangka itulah permintaan terakhirnya," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Norizan, sebelum kejadian Radziatul Nadia keluar bermain bersama anak-anak jirannya kira-kira pukul 3 petang manakala beliau pula keluar membeli mi untuk juadah berbuka puasa.

"Namun sejam selepas itu, saya dimaklumkan anak jiran yang dia (Radziatul Nadia) lemas. Saya ingat dia pergi bermain di taman permainan berhampiran dan langsung tidak menyangka ke sungai sebab sebelum ini dia tak pernah ke sana," katanya.

Norizan berkata, Radziatul Nadia pula tahun ini menunjukkan perubahan ketara apabila amat rajin bertarawih bersama rakan-rakannya.

Dalam kejadian itu, Radziatul Nadia bersama Hanis Balkis Fadzli, 7; Mohamad Nazimi Fadzli, 9; dan Athafiz Amin, 10, mati lemas ketika mereka mencari kepah.

Dalam pada itu, kakak kepada Athafiz, Athirah, 16, berkata, adiknya sempat berpesan kepadanya supaya menghantar pakaian kotor ke kedai dobi pagi tadi.

"Ketika adik saya itu mengejutkan saya daripada tidur, saya dalam keadaan separuh sedar, saya sedih sebab tak dapat bertemu dia lagi.

"Manalah saya sangka itu merupakan pesanan terakhir adik saya itu kerana sebaik sahaja saya pulang bekerja kira-kira pukul 4 petang, saya dimaklumkan bahawa adik saya telah lemas," katanya.

Menurut Athirah, ketika kejadian ibu dan ayahnya sedang berniaga.

Utusan 22 Jul 2013


Terharu lihat lakaran Hanis

Lakaran dan tulisan Hanis Balqis dihasilkan 12 Julai lalu

Mohd Hikram menunjukkan buku mempunyai lakaran Hanis Balqis yang ditemuinya sambil diperhatikan Fadzli (dua, kanan) dan Norazlinda.

MELAKA - Seorang daripada empat mangsa lemas di sungai berhampiran Taman Sri Krubong, dekat sini, Ahad lalu sempat membuat lakaran dalam sebuah buku kecil, sembilan hari sebelum kejadian.

Hanis Balqis Fadzli, 7, yang merupakan mangsa paling muda membuat lakaran berkenaan untuk tatapan keluarga, bagaimanapun hanya disedari keluarganya sehari selepas kematian mangsa.

Lakaran yang turut mencatatkan senarai nama orang disayangi ditemui abang sulung mangsa, Mohd Hikram Fadzli, 10, di almari televisyen, Isnin lalu.

Hikram kemudian menunjukkan buku berkenaan kepada ibu bapanya, Norazlinda Abd Mutalib dan Fadzli Ismail, masing-masing berusia 30 tahun, menyebabkan kedua-duanya terkejut.

Menurut Fadzli, Hanis atau nama panggilannya, Antik memang gemar melukis dan mewarna, namun belum pernah melakarkan gambar dan nama keluarga.

“Ini kali pertama saya melihat Antik melukis dan menulis satu persatu nama ahli keluarga yang disayanginya. Dia tak pernah buat begini sebelum ini.

"Lebih mengejutkan, lakaran turut dicatatkan tulisan '12 Julai 2013' iaitu hari Jumaat dipercayai tarikh lakaran itu dibuat seolah-olah mangsa mahu memberitahu kita bila lukisan ini dibuat," katanya ketika ditemui selepas majlis kenduri arwah di kediamannya di Taman Sri Krubong Fasa 4, dekat sini malam kelmarin.

Sementara itu, Norazlinda berkata, banyak perubahan sikap ditunjukkan Antik dan abangnya, Mohd Hazimi, 9, beberapa hari sebelum ditemui mati lemas.

"Antik tak pernah cakap dia sayang saya dan suami, tapi beberapa sebelum kejadian dia cakap ‘kakak sayang ibu, kakak sayang abah’," katanya.

Sementara Hazimi pula, katanya, tidak bermain jauh sejak seminggu lalu, sekadar kawasan berhampiran dan tidak mahu mengikut balik ke rumah datuknya yang terletak berhampiran apabila diajak.

Sementara itu, katanya, Antik dan Hazimi yang merupakan anak ketiga dan kedua daripada lima beradik itu sebelum ini ada memberitahu, bahawa mereka bermimpi ditarik serta sesuatu yang menakutkan.

“Antik kata dia mimpi kena tarik tapi tak beritahu pula ditarik dengan apa. Hazimi pula beritahu dia mimpi sesuatu yang menakutkan. Tetapi, saya tak ambil kisah," katanya.

Sinar Harian 24 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment