July 22, 2013

Tindakan rakam adegan ranjang dikutuk

KUCHING: Ketua Wanita SUPP Tnay Li Ping kesal dengan tindakan tidak bermoral seorang lelaki yang merakam adegan ranjang bersama isteri secara rahsia sebagai koleksi peribadi.

Lebih dikesali, lelaki berusia dalam lingkungan 32 tahun itu turut melakukan perbuatan sama ke atas beberapa wanita lain yang ditidurinya.

Tnay yang bersimpati dengan nasib malang yang ditanggung oleh wanita-wanita berkenaan menggesa agar siasatan terperinci dijalankan oleh pihak polis untuk tindakan sewajarnya.

“Saya dapat merasai kesakitan yang ditanggung oleh wanita-wanita ini terutama si isteri kerana tidak menyangka si suami sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral ini.

“Bukan mudah untuk mereka tampil membuat aduan kepada pihak polis dan berkongsi masalah ini kepada kita apatah lagi ia melibatkan hal yang terlalu peribadi.

“Tetapi kerana tidak mahu terus menjadi mangsa ditambah dengan sokongan moral daripada pelbagai wakil pertubuhan wanita sebab itu mereka ada di depan kita hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP petang kelmarin.

Pada sidang media itu, isteri suspek memberitahu bahawa dia hanya mengetahui akan perkara itu secara tidak sengaja melihat klip-klip video dan gambar yang dirakam di komputer riba milik suaminya.

Jelasnya, rakaman tersebut dibuat oleh suaminya menggunakan kamera tersembunyi yang diletakkan di jam loceng, jam tangan dan pen.

Difahamkan isteri lelaki berkenaan telah membuat laporan polis awal minggu ini dan kelmarin, tiga lagi mangsa tampil membuat laporan yang sama ke atas lelaki berkenaan.

Sementara itu, Penasihat Perundangan SUPP Milton Foo meminta agar nama-nama mangsa tidak disiarkan dalam akhbar bagi menghormati privasi wanita-wanita berkenaan.

Foo turut menggesa pihak polis agar menjalankan tugas dengan cekap dengan melakukan siasatan yang komprehensif mengenai perkara ini.

“Kami tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan dan prosedur mahkamah.

“Kami harap pihak polis akan memastikan keselamatan mangsa sepanjang siasatan dijalankan dan berharap masyarakat akan memberi sokongan moral kepada mangsa jenayah seksual ini,” kata Foo.

Utusan Borneo 22 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment