July 22, 2013

5 maut kenderaan rempuh tiang jejambat di Nusajaya



Keadaan pacuan empat roda yang dinaiki kelima-lima mangsa yang maut.

Mayat lima mangsa kemalangan maut diletakkan di dalam bilik mayat sebelum bedah siasat di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

Nusajaya: Seorang peniaga ikan tempatan dan empat wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki terbabas dan merempuh tiang jejambat di Lebuh Raya Pesisir Pantai Johor Bahru-Nusajaya, di sini.

Kemalangan ngeri itu berlaku sekitar jam 12.50 tengahari ketika semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru  menghala ke Gelang Patah.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mokhtar Khalid, 43, bersama empat wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20an iaitu Marini bernombor pasport (AR258388); Sehate (AR25799); Desi Angreani (ARAP355538) dan Santi Novita Sitepu (AS184031).

Ketua Polis daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, seorang warga tempatan dan empat warga asing itu meninggal dunia di  tempat kejadian

“Kita percaya kenderaan tersebut dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan menghala ke Gelang Patah.

“Siasatan di tempat kejadian pula mendapati keadaan cuaca baik dan terang.

"Keadaan jalan juga rata, bertar dan kering, sedikit berselekoh dan terdapat tiga lorong, namun tiada kekeliruan tanda jalan,” katanya kepada media ketika mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Noor Hashim berkata, semua jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini,  untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri ketiga Mokhtar, Hasni Ali, 36, berkata, sekitar dua jam sebelum kejadian, suaminya sempat membalas sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya memberitahu mahu berbuka bersama keluarga.

“Saya menerima panggilan polis menyatakan suami terkemalangan dalam jam 2 petang dan tidak sangka dia telah pergi meninggalkan kami.

“Kali terakhir saya berjumpanya semalam (kelmarin) tetapi  suami langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Rakan kepada Mokhtar, Faizal Abd. Rahim, 37, berkata, dia sangat terkejut apabila menerima berita mengenai kejadian itu dan segera ke Rumah Mayat HSA bagi mengecam sendiri jenazah rakannya itu.

Katanya, dia mengenali Mokhtar sejak tiga tahun lalu dan bersama-sama menjalankan perniagaan menjual ikan di Larkin, dekat sini.

"Saya hanya dapat mengecam muka arwah sahaja manakala empat lagi individu yang bersamanya tidak dapat kenal pasti kerana pihak hospital tidak membenarkan saya berbuat demikian," katanya.

Sumber Sinar Harian, Kosmo, Utusan dan Berita Harian 22 Jul 2013


Mahu hantar 4 pekerja

Johor Bahru: Penjual ikan dan sayur, Mokhtar Khalid, 43, yang terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Gelang Patah bersama empat wanita Indonesia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an.

Difahamkan, Mokhtar meminjam kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux daripada seorang rakannya kerana ingin menghantar empat wanita berkenaan yang juga pekerja rakannya ke Gelang Patah.

Anak ketiga mangsa, Azmi, 19, berkata, dia bekerja dengan arwah bapanya sebagai penjual ikan di gerai Blok B, Flat Larkin, di sini dan kali terakhir bertemu arwah pada petang kelmarin ketika berbuka puasa bersama sebelum arwah memintanya membelikan rokok.

“Kali terakhir kami bersama, arwah lebih banyak mendiamkan diri walaupun dia seorang yang ceria dan suka bergurau,” katanya.

myMetro 22 Jul 2013


Janji tapi tak sampai

Johor Bahru: “Papa sibuk kerja luar. Papa janji balik rumah sebelum jam 6 petang dan beli makanan untuk berbuka dengan anak-anak,” itulah pesanan terakhir seorang penjual ikan dan sayur, Mokhtar Khalid, 43, menerusi SMS kepada isteri ketiganya, dua jam sebelum maut dalam kemalangan jalan raya bersama empat wanita Indonesia.

Difahamkan, Mokhtar dari Mersing mempunyai tiga isteri dan sembilan anak berusia antara enam tahun hingga 20-an.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari itu, Mokhtar meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dipandunya terbabas ke dalam longkang di Lebuhraya Pesisir Pantai (Johor Bahru-Gelang Patah) satu kilometer dari taman tema Legoland Malaysia di sini.

Kejadian itu turut meragut nyawa empat wanita warga Indonesia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an yang turut berada di dalam kereta lelaki itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum diketahui apa hubungan Mokhtar dan empat wanita itu, dan difahamkan mereka pekerja kepada rakan niaganya.

Isteri ketiga mangsa, Hasni Ali, 36, berkata, ketika arwah suami meninggalkan rumah mereka di Flet Larkin, di sini, pada jam 12 tengah hari kelmarin, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya menyatakan ingin berurusan di luar.

Hasni berkata, arwah menghantar SMS ke telefon bimbitnya pada jam 11 pagi semalam menyatakan mahu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama anak-anak.

“Arwah mempunyai tiga isteri dan anak yang ramai, malah biasa menjemput anaknya yang lain (anak isteri lain) untuk berbuka puasa bersama memandangkan mereka berasal dari Mersing dan bekerja di bandar raya ini.

“Oleh itu, ketika berbuka puasa di rumah kami memang meriah dan suami rajin membeli makanan dari luar untuk anak-anak.

“Memang tidak diduga, kelmarin (Jumaat) kali terakhir kami berbuka puasa bersama arwah dan rancangan arwah untuk berbuka puasa bersama anak-anak hari ini (semalam) tidak kesampaian apabila meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya yang sebak ketika mengecam mayat di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam.

Hasni berkata, dia tidak pasti urusan arwah suami, namun arwah rajin bekerja terutama bagi menambahkan pendapatan sepanjang Ramadan kerana ingin berkongsi bersama anaknya.

Katanya, ahli keluarganya tidak mengenali empat penumpang Indonesia yang terbabit dalam kemalangan selain menggunakan kereta rakan kongsi arwah.

Menurutnya, ketika berbalas SMS dengan arwah pada jam 11 pagi, arwah memaklumkan sibuk dan akan pulang ke rumah pada jam 6 petang.

“Saya dan anak sibuk menguruskan gerai menjual ikan dan sayur di Flet Larkin dan pada jam 2 petang, kami menerima berita berkaitan kemalangan menimpa suami.

“Saya seperti tidak percaya apabila mendapati arwah sudah tiada kerana dia berjanji mahu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama-sama,” katanya yang memiliki tiga anak.

myMetro 22 Jul 2013


Seorang mangsa kemalangan maut bukan Santi - Polis

JOHOR BAHARU 22 Julai - Seorang daripada empat wanita Indonesia yang dikatakan maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh Raya Pesisir Pantai Johor Baharu-Nusajaya semalam sebenarnya masih hidup.

Kesilapan identiti berlaku apabila polis menemui pasport milik Santi Novite Sitepu di dalam Toyota Hilux yang dipandu penjual ikan tempatan, Mokhtar Khaled, 53, yang turut terkorban dalam nahas itu.

Mangsa sebenar yang meninggal dunia ialah Nelda Rahimah, 28, yang merupakan rakan sekerja Santi di syarikat pembuat kanta sesentuh CIBAVision di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas.

"Penemuan pasport itu telah menyebabkan kita percaya Santi adalah seorang daripada mangsa tersebut," kata Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed di sini hari ini.

Pihak CIBAVision juga mengesahkan bahawa Santi bukan mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Tiga lagi wanita yang meninggal dunia dalam kemalangan itu dan disahkan identiti mereka ialah Merini, Sehate dan Desi Anggreani.

Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terhumban ke dalam longkang tidak jauh dari taman tema Legoland Malaysia dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu. - BERNAMA

22 Jul 2013


0 comments:

Post a Comment