June 28, 2013

Ibu rayu biayai kos bedah bayi

Jamaliah bersama anaknya yang menghidapi penyakit jantung memerlukan bantuan kewangan bagi melakukan pembedahan di Hospital Gleneagles. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki berusia 19 hari yang menderita akibat penyakit jantung memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan berjumlah RM50,000.

Pakar perubatan mengesahkan Muhammad Adam Mukhriz mengalami saluran arteri besar jantung yang terbalik dan menghidap saluran aorta menyempit.

Ibunya, Jamaliah Md Issa, 36, berkata Adam kelihatan normal sewaktu dilahirkan dan doktor di Hospital Teluk Intan membenarkan mereka pulang ke rumah selepas sehari berada di hospital.

Demam kuning

Ketika di rumah, ibu saya melihat Adam bernafas dengan laju namun tidak mengesyaki apa-apa sehingga kami membawanya semula ke hospital apabila dia dijangkiti penyakit demam kuning.

Selepas itu, Adam dikesan mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera, katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles di sini, semalam.

Jamaliah berkata, dia sukar menerima berita itu dan berasa sangat sedih, tambahan lagi masih berada dalam tempoh berpantang.
Sementara itu, Kamarudin Sulaiman, 42, yang juga seorang peserta FELCRA di Perak, tidak menyangka anak kelimanya menghidap penyakit yang memerlukan pembedahan dan kos rawatan yang tinggi.

Bantuan rakyat Malaysia

Saya hanya memperoleh pendapatan RM1,300 sebulan dan tidak cukup untuk membayar kos rawatan, di samping menyara kehidupan kami tujuh beranak.

Saya mengharapkan bantuan rakyat Malaysia untuk menyelamatkan anak saya. Berilah dia kesempatan untuk membesar dengan sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain, katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan, boleh menyumbang menerusi cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan dialamatkan kepada Juruwang, Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama penerima ditulis di belakang cek.

Berita Harian 28 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment