June 28, 2013

Seluruh Sarawak bergelap

Kebanyakan kawasan di Sarawak bergelap sejak petang semalam. - Foto BERNAMA

Kuching: Kira-kira sejuta penduduk bergelap apabila bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak mulai jam 5.40 petang semalam.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataannya menyebut, kejadian berpunca daripada sirkit terpelantik membabitkan sistem rangkaian kuasa grid Stesen jana kuasa Kemena-Bintulu.

Kejadian dikesan pada jam 5.40 petang dan jurutera serta juruteknik SEB bertungkus-lumus berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin, katanya di sini, malam tadi.

Setakat jam 9.30 malam tadi, bekalan di Kuching pulih 50 peratus manakala Sibu, Bintulu dan Miri masih bergelap.

Pegawai Perhubungan Awam SEB, Haniza Abdul Hamid, ketika dihubungi berkata, bekalan dipulihkan secara berperingkat manakala ada beberapa kawasan mempunyai sistem sokongan kuasa automatik.

Kerah kawal lalu lintas

Di SIBU, lebih 200 anggota polis dikerah mengawal lalu lintas dan melakukan rondaan sebaik bekalan elektrik terputus.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata lampu isyarat tidak berfungsi di waktu puncak menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa tetapi dapat dikawal.

Di MIRI, tiga rumah di Piasau Jaya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam tadi, dipercayai akibat penggunaan lilin bekalan ketiadaan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api dapat dikawal sejam kemudian.

Berita Harian 28 Jun 2013


Turbin Bakun gagal bekalkan tenaga

Punca gangguan bekalan elektrik dikenal pasti

Kuching: Gangguan bekalan elektrik kira-kira lima jam membabitkan hampir seluruh negeri ini kelmarin, disahkan berpunca daripada penurunan mendadak bekalan elektrik dari Stesen Janakuasa Hidro Bakun.
Kejadian bermula jam 5.36 petang apabila turbin jana kuasa gagal membekalkan tenaga hingga menyebabkan penurunan mendadak tenaga dari 884 megawat (mw) kepada 456mw.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Torstein Dale Sjotveit, berkata penurunan itu turut menyebabkan semua stesen jana kuasa utama lain di Sejingkat, Batang Ai, Mukah, Bintulu dan Miri terpelantik.

Katanya, SEB segera menggerakkan usaha memulihkan bekalan dengan Stesen Hidroelektrik Batang Ai kembali beroperasi jam 5.53 petang, diikuti Sejingkat (5.56 petang), Bintulu (6.21 petang) dan Miri (7.45 malam).

Hilang 456mw tenaga

“Ketika kejadian, jumlah aliran tenaga pada tahap 1,555mw, namun dalam tempoh 10 saat, kita kehilangan 456mw tenaga menyebabkan tahap frekuensi normal pada paras 50 hertz (hz) menurun di bawah 47.5hz.

“Bakun hanya dapat dipulihkan selepas jam 10 malam menyebabkan beberapa kawasan mengalami kelewatan pemulihan seperti di Sibu apabila sistem kembali dihubungkan jam 11.30 malam dan keseluruhannya pulih jam 2.07 pagi tadi (semalam),” katanya di Ibu Pejabat SEB, di sini semalam.

Stesen Janakusa Hidroelektrik Bakun mempunyai empat turbin utama beroperasi 24 jam, masing-masing berupaya menjana sehingga 300mw. Bagaimanapun atas aspek keselamatan, ia hanya dibenarkan beroperasi pada tahap pengeluaran antara 220 hingga 230mw.

Sambil memohon maaf kepada pengguna termasuk komuniti perniagaan yang terjejas akibat kejadian kelmarin, Torstein berkata, siasatan rapi berhubung kejadian itu membabitkan wakil Kementerian Kemudahan Awam dan Sarawak Hidro akan dilakukan segera bagi mengelak perkara sama berulang.

“Saya memberi jaminan sistem bekalan sedia ada adalah stabil di seluruh negeri ini. Pegawai dan jurutera kami sudah berada di Bakun untuk memulakan siasatan, mencari punca penurunan bekalan tenaga dan kita harap ia dapat diketahui dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Berita Harian 29 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment