April 10, 2013

Ugut bunuh bapa


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa tidak menyangka keputusan menegur perbuatan biadab anak lelakinya mengundang padah apabila diugut akan dibunuh oleh darah dagingnya sendiri, dalam kejadian di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, di sini, Sabtu lalu.

Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa berusia 70 tahun yang berada di rumahnya didatangi suspek berusia 30-an, dalam keadaan marah dengan membawa sebilah pisau sebelum berlaku pertengkaran mulut antara dua beranak itu.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tidak berpuas hati dengan teguran mangsa sebelum ini, semasa berkelahi dengan ibunya, 60-an, yang juga isteri mangsa.

“Mangsa dikatakan menasihati suspek agar tidak berkasar dan tindakan itu mengundang kemarahan suspek sehinggakan tergamak mengugut mahu membunuh warga emas itu,” katanya, semalam.

Menurutnya, walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mangsa yang bimbang akan keselamatannya dan isteri pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan polis sejurus suspek meninggalkan rumah.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Sinar Harian 10 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment