April 10, 2013

Muslihat ada gangguan mental


KUALA TERENGGANU - Muslihat seorang mualaf yang kononnya ada gangguan mental untuk menagih simpati Mahkamah Majistret, di sini, semalam, gagal apabila dia tetap dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas mendapati Teo Swee Mu atau nama Islamnya, Abdul Syukur Teo, 36, yang mengaku bersalah telah memecah masuk kedai Stokis HPA, di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, tidak mempunyai sebarang rekod masalah mental sebelum ini.

Dia yang berasal dari Sepang. Selangor itu, mengaku bersalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu pada 9 Mac lalu antara jam 6 petang hingga 10 Mac lalu antara jam 7.30 pagi.

Dia yang baru memeluk Islam tidak sampai setahun itu turut mengaku mencuri wang tunai RM2,000; satu pen al-Quran digital; aksesori telefon bimbit; dakwat pencetak pelbagai warna; dua buah telefon bimbit; satu handycam; satu kamera digital jenama Nikon, satu USB celcom Broadband; satu kamera digital Panasonic Lumix dan segugus kunci pejabat milik Mohd Aminuddin Awang Ludin, 23, yang melibatkan nilai kerugian RM18,000.

Abdul Syukur yang memiliki rekod jenayah lampau iaitu mencuri, mengaku bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Abdul Syukur tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, selain mendakwa mempunyai masalah gangguan mental, dia turut mendakwa hidupnya susah kerana sukar untuk mencari pekerjaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari kedainya dipecah masuk apabila mendapati pintu depan ada kesan umpil semasa hendak membuka kedai, pada 10 Mac lalu kira-kira jam 7.30 pagi.

Susulan laporan dibuat, Abdul Syukur ditangkap di sebuah rumah di Nesan Empat, Jalan Sultan Sulaiman, di sini, hari sama laporan polis diterima iaitu pada jam 12.10 tengah hari.

Polis berjaya menemui semula barang-barang dicuri yang disorokkan di bawah katil di dalam rumah berkenaan.

Sinar Harian 10 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment