April 17, 2013

Ceti haram ugut bunuh didenda RM2,000



Ipoh: Seorang ceti haram dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memeras ugut mahu membunuh seorang lelaki yang gagal menjelaskan hutang abangnya.

Tertuduh Lau Yau Kong, 31, didakwa melakukan perbuatan berbentuk ugutan iaitu mahu membakar rumah dan membunuh mangsa serta keluarganya di Anjung Bercham Megah, Bercham, pada jam 8 malam, 4 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nor Abdurrahim mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam, Serala Sittan merayu hukuman diringankan atas alasan mempunyai banyak tanggungan selain berpendapatan rendah.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab menetapkan denda RM2,000 dan penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu, semalam.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis berhubung gangguan yang diterima berkaitan pinjaman wang dari along yang dibuat abang kandungnya berjumlah RM2,000.

Dalam kejadian itu, tertuduh bersama rakannya memecah masuk rumah mangsa di Bercham dan mengugut mahu membunuh mangsa.

Pada 10 April lalu, serbuan dilakukan di rumah tertuduh di Taman Cempaka, di sini, sebelum polis menahan suspek dan merampas beberapa dokumen yang digunakan untuk kegiatan along.

myMetro 17 Apr 2013


Ah long mengaku bersalah ugut bunuh


IPOH - Bertindak seperti ah long, seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dengan mengugut membunuh seorang lelaki jika gagal menjelaskan hutang.

Lau Yau Kong, 31, yang ditahan pada 10 April lalu didakwa melakukan ugutan mendatangkan kecederaan dengan mengeluarkan kata akan bakar rumah dan membunuh kepada pengadu, Yew Yuen Yooi, 25, dan keluarganya.

Kejadian itu berlaku di Anjung Bercham Megah, Bercham di sini, lebih kurang jam 8 malam, 4 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis mengenai gangguan yang diterima berkaitan pinjaman wang dengan ah long yang dibuat abangnya berjumlah RM2,000.

Dalam kejadian itu, tertuduh bersama rakannya memecah masuk rumah mangsa di Bercham dan mengugut untuk bunuh mangsa.

Pada 10 April lalu, serbuan di buat rumah tertuduh di Taman Cempaka dan menahan bersama beberapa dokumen yang digunakan untuk kegiatan ah long sebelum di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nor Abdurrahim mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Serala Sittan merayu hukumannya diringankan atas alasan mempunyai ramai tanggungan selain pendapatannya rendah.

Setelah mendengar hujah dari kedua-dua pihak, Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab menetapkan denda sebanyak RM2,000 dan penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda itu, semalam.

Sinar Harian 17 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment