April 17, 2013

Mayat gadis leher berlubang dalam longkang

Parhwine Lucia Mejia Kaur. Gambar The Star

Puchong: Seorang remaja perempuan ditemui maut dengan kesan luka kecil berlubang di lehernya dalam longkang padang bola sepak sebuah kawasan perumahan di Jalan Tiung 5, Puchong Jaya, di sini, semalam.

Mangsa berusia 18 tahun itu ditemui tertiarap lengkap berpakaian dalam longkang oleh beberapa penduduk kawasan berkenaan yang bermain bola sebelum mereka menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat jam 6.50 petang.

“Mangsa dikenali sebagai Parhwine Lucia Mejia Kaur dari Taman Baru Batu 8 Puchong ditemui mati dengan kesan luka kecil berlubang di tengah lehernya.

“Hasil pemeriksaan kami turut menemui motosikal mangsa di kawasan berhampiran bersama barangan peribadi di tepi padang itu,” katanya.

Abdul Razak berkata, siasatan lanjut dijalankan dan setakat ini tiada saksi kejadian terbabit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal difahamkan mangsa dipercayai datang bersama beberapa rakannya pada malam sehari sebelum kejadian selepas penduduk menyedari sebuah motosikal diletakkan berhampiran padang jam 11 malam,” katanya.

myMetro 17 Apr 2013


Mesej pembunuh di Facebook

Kuala Lumpur: “Hehe...tiada siapa boleh jumpa saya !!!! Pembunuh Parhwine Kaur” ini paparan Facebook (FB) milik mangsa bunuh, Parhwine Lucia Mejia Kaur, 18, yang tersebar di laman sosial itu sejak semalam.

Status FB yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu dikemas kini jam 3.33 petang kelmarin oleh orang yang disyaki bertanggungjawab terhadap pembunuhan remaja malang itu.

Dalam paparan itu, terdapat juga komen balas daripada dua individu dipercayai rakan mangsa mengecam perbuatan pelaku terbabit namun, dia dengan selamba membalas “bapak dia selalu cakap lebih...suruh ah tangkap aku...” dan “kenapa tangkap orang yang tak bersalah...!!!!?!?” seolah-olah mengejek pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias ketika dihubungi berkata, pihaknya menyiasat status laman sosial yang tersebar itu bagi memastikan sama ada ia benar atau palsu.

“Kita menahan seorang lelaki yang juga teman lelaki mangsa kelmarin dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan, seorang remaja perempuan ditemui maut dengan kesan luka kecil berlubang di lehernya dalam longkang padang bola sepak sebuah kawasan perumahan di Jalan Tiung 5, Puchong Jaya, dekat Serdang.

Mayatnya ditemui tertiarap dengan lengkap berpakaian oleh beberapa penduduk kawasan berkenaan yang bermain bola sebelum mereka menghubungi polis.

myMetro 19 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment