April 17, 2013

Wang gaji lesap akibat diperdaya


ALOR GAJAH - Hasrat seorang pekerja kilang untuk memasukkan gaji ke dalam akaun simpanan tidak kesampaian apabila dia diperdaya tiga individu tidak dikenali di Masjid Tanah, dekat sini, pagi kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Zuraidah Ismail, 47, berada di perhentian bas Masjid Tanah hendak ke sebuah bank berdekatan sebelum didatangi seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an serta 40-an.          

Menurutnya, ketika itu dia membawa RM500 di dalam beg didatangi lelaki dan wanita itu yang menaiki sebuah Proton Saga BLM berwarna emas.

"Mereka bertanya berapa banyak wang yang saya ada termasuk di dalam akaun.

"Ketiga-tiga mereka kemudiannya meminta saya masuk ke dalam kereta lalu memberitahu hendak meminjam wang dan akan mengganti dengan tebusan tiket nombor ekor," katanya.

Zuraidah berkata, wanita berusia 30-an itu bercakap dalam dialek seberang menceritakan kakaknya mempunyai masalah dan memerlukan wang untuk rawatan serta perbelanjaan.

"Lelaki dan seorang lagi wanita pula memberitahu mereka suami isteri dan mengatakan duit saya akan digantikan dengan tebusan tiket nombor ekor yang didakwa memenangi tempat pertama berjumlah RM41,000.

"Disebabkan kasihan dan simpati, tanpa ragu-ragu saya terus menyerahkan RM500 sebelum seorang lelaki yang digelar tauke menghubungi salah seorang daripada mereka," katanya.

Malah katanya, lelaki berkenaan juga berjanji akan membayar wang yang dipinjam itu pada petang hari sama, namun hanya dibenarkan untuk keluar pada keesokan harinya.

"Saya seolah-olah terpukau dan percaya selain turut menyerahkan sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericsson bagi memudahkan tauke mereka menghubungi perempuan terbabit.

"Saya kemudiannya diturunkan di hadapan sebuah restoran makanan segera tidak jauh dari tempat kejadian. Waktu itu baru saya menyedari sudah ditipu sebelum memaklumkan kejadian kepada suami," katanya.

Katanya, kehilangan RM500 itu adalah jumlah besar baginya memandangkan hanya bekerja kilang dan suami bekerja nelayan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 17 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment